2,500 bakul makanan diterbangkan ke Labuan: Rina Harun

Pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa sumbangan bakul keperluan asas Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersiap sedia untuk berlepas dari Pangkalan TUDM Subang ke Labuan, pada Khamis. - Foto Bernama
Pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa sumbangan bakul keperluan asas Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersiap sedia untuk berlepas dari Pangkalan TUDM Subang ke Labuan, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

SUBANG - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada Khamis menghantar 2,500 bakul makanan kepada penduduk di Labuan yang terkesan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 14,000 bakul makanan yang dipersetujui dalam mesyuarat melibatkan kementeriannya, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Labuan.

"Bakul makanan terbabit yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, tepung dan gula diterbangkan menerusi penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia pada Khamis.

"Baki selebihnya iaitu 11,500 bakul makanan lagi akan dihantar melalui laut pada Sabtu ini," katanya kepada pemberita selepas hadir meninjau penghantaran barang keperluan asas itu di Pangkalan Udara Subang, di sini.

Menurutnya, penghantaran bakul makanan itu juga merupakan antara usaha di bawah Pelan Pemulihan Negara untuk mengurangkan beban hidup penduduk Labuan yang dikenakan PKPD sejak 28 Mei lepas bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di pulau tersebut.

Rina berkata, pada masa sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat menyelaraskan sumbangan barangan keperluan asas lain seperti lampin pakai buang dan susu bayi serta lain-lain daripada pertubuhan bukan kerajaan sekiranya ada permintaan khusus daripada penduduk di sana.

"Saya berharap usaha ini dapat meringankan beban rakyat di Labuan yang sedang menghadapi saat sukar," katanya dan menambah kementerian itu akan terus berusaha meringankan beban penduduk terjejas. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!