Ikat perut makan sehari sekali, kutip sayur tepi jalan
IPOH - Hanya makan bubur sehari sekali dan kutip sayur-sayur di tepi jalan.
Itu rutin yang dilalui seorang ibu tunggal di sini sejak dua tahun lalu selepas hilang pekerjaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
R Suganthi, 53, berkata, keadaan itu terpaksa diharungi bersama anak perempuannya, M Lalithambiga, 33, akibat kesempitan hidup dan wang.
Dia yang kini hidup menumpang di rumah rakan mengakui pada mulanya malu untuk meminta bantuan, namun terpaksa merayu keprihatinan orang ramai selepas tidak lagi sanggup melihat anak perempuannya yang menderita sakit tulang belakang tidak makan dan minum.
"Sepanjang dua tahun ini, kawan-kawanlah yang banyak bantu, ada yang beri duit dan ada juga belikan barang dapur untuk kami dua beranak makan, jadi dengan bekalan makanan itulah kami berjimat.
"Kami makan hanya satu kali sehari, itu pun bubur nasi kosong yang dicampur dengan bawang dan cili goreng, biasanya kami akan makan lewat dalam jam 4 ke 5 petang supaya dapat alas perut sampai ke malam," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.
Suganthi yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kolej swasta berkata, oleh kerana tidak mempunyai wang bagi membeli keperluan dapur, dia hanya mengutip tumbuhan yang boleh dijadikan sayur di tepi-tepi jalan sekitar rumah.
"Selagi boleh bertahan, saya akan bertahan... sebenarnya saya tidak kisah kalau saya tak makan, tetapi bila mengenangkan keadaan anak yang sakit tidak makan, hati saya sedih, rasa seperti ibu yang tidak berguna," katanya.
Dia berkata, anaknya pernah terlibat dalam kemalangan pada 2011 lalu hingga mengakibatkan hilang ingatan dan memberi kesan sampingan terhadap kesihatannya sehingga tidak mampu untuk bekerja.
Katanya, dia berharap ada pihak sudi tampil membantu terutama menyediakan rumah sewa untuk dia dan anaknya tinggal lebih selesa.
"Selepas diminta keluar dari rumah sewa dulu, saya tinggal di rumah rakan, kebetulan rumah itu mahu dijual tetapi belum ada pembeli, jadi saya tinggal di sana.
"Selepas itu, rakan saya tawarkan duduk di salah satu rumahnya di Ipoh, sudah enam bulan kami tinggal menumpang di sini, selepas ini tidak tahu ke mana pula arah hidup kami," katanya.
Keperitan hidup keluarga berkenaan mendapat perhatian Yayasan Era Suria (YES) dan Srikandi Perak yang hadir menyampaikan bantuan kewangan dan barangan keperluan dapur.
Pengerusi YES Perak, Nor Raidah Awang berkata, keluarga itu telah menghubungi pihak yayasan pada Rabu memaklumkan bahawa mereka telah terputus bekalan makanan.
"Kami mengambil inisiatif menyediakan barangan seperti beras, sardin, gula, tepung, roti dan mihun bagi memastikan mereka dapat makan," katanya.
Hadir sama, Ketua Srikandi Perak, Puteri Holijah Muhamad Rali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!