Masjid di Perak adakan bacaan Yasin secara Google Meet

Masjid Sultan Idris Shah II menerusi Facebook menyertakan pautan Google Meet bagi Majlis Bacaan Yasin pada malam ini. Gambar kecil: Mohd Yusop
Masjid Sultan Idris Shah II menerusi Facebook menyertakan pautan Google Meet bagi Majlis Bacaan Yasin pada malam ini. Gambar kecil: Mohd Yusop
A
A
A

IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengalakkan semua masjid di Perak mengadakan majlis bacaan Yasin secara maya menerusi aplikasi Google Meet pada setiap Khamis mulai malam ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, usaha itu digerakkan bagi membolehkan orang ramai yang berada di rumah untuk turut serta bersama ahli jawatankuasa masjid membaca surah Yasin.

Menurut beliau, bacaan Yasin tersebut diadakan sebagai ikhtiar memohon kesejahteraan dan keselamatan rakyat di Perak serta Malaysia dari ancaman penularan pandemik Covid-19.

"Tujuan bacaan ini diadakan adalah untuk melazimi bacaan ayat-ayat suci al-Quran dalam kalangan umat Islam di samping berdoa dan bermunajat dalam tempoh negara berdepan saat getir ketika ini.

"Pihak JAIPk amat mengalu-alukan semua masjid di Perak yang berkemampuan untuk melaksanakan bacaanYasin secara maya menggunakan aplikasi Google Meet," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, setiap masjid akan mewujudkan pautan Google Meet tersebut dan membuat hebahan kepada ahli kariah masing-masing menerusi pelbagai platform media sosial.

Mohd Yusop berkata, melalui pautan itu, ahli-ahli kariah yang berada di rumah masing-masing dalam tempoh pandemik berinteraksi dengan membaca Yasin bersama-sama imam bertugas yang akan mengetuai bacaan tersebut.

Katanya, sebelum ini pihak JAIPk mengeluarkan pekeliling kepada masjid-masjid untuk mengadakan majlis bacaan Yasin pada setiap malam Khamis dalam tempoh pandemik.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) antara yang telah menguar-uarkan pautan Google Meet untuk majlis bacaan Surah Yasin di Facebook masjid berkenaan.

Semua masjid dan surau di Perak hanya dibenarkan menerima 12 orang jemaah yang terdiri dalam kalangan ahli jawatankuasa dan pegawai bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!