Pasang pagar elektrik elak serangan gajah liar
KEMAMAN - Kerajaan akan membantu memasang pagar elektrik bagi mengatasi serangan gajah liar yang sering muncul dan merosakkan hasil tanaman rancangan tanah berkelompok (RTB) yang diusahakan 200 peserta di Kampung Ban Ho, Cherul serta Kampung Air Putih, di daerah ini.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kos pemasangan pagar elektrik yang dianggarkan sebanyak RM1.7 juta akan disalurkan melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta dijangka dimulakan tahun depan.
"Kerajaan prihatin dengan keluhan penduduk sering berdepan serangan gajah liar yang memusnahkan tanaman sehingga terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit.
"Masalah serangan gajah liar disedari sejak hujung Mei lalu dan terbaharu berlaku dua minggu lalu di kawasan ini.
"Seramai lapan peserta projek RTB yang mengusahakan tanaman pisang dan nanas menanggung kerugian setelah tanaman musnah akibat serangan gajah," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan menyalurkan bantuan segera sebagai wang saguhati melalui Tabung Bencana Pertanian kepada peserta terjejas.
"Diharap bantuan ini sedikit sebanyak meringankan bebanan dan menjadi pemangkin semangat kepada mereka untuk tidak berputus asa," katanya.
Sementara itu, katanya, Perhilitan Terengganu merekodkan sebanyak 180 ekor gajah liar dikesan berkeliaran setakat ini.
Katanya, haiwan berkenaan sering muncul di lokasi kebun berhampiran kawasan hutan kerana gemarkan umbut kelapa dan kelapa sawit.
"Beberapa langkah bagi mengatasi serangan gajah diambil sebelum ini seperti pemasangan pagar elektrik dan lampu LED.
"Selain itu halau dan tangkap gajah untuk dipindahkan ke Taman Negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!