TMJ seru rakyat Johor daftar suntikan vaksin

Tunku Ismail (tengah) diberi penerangan semasa meninjau operasi Pusat Pemberian vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada Khamis.
Tunku Ismail (tengah) diberi penerangan semasa meninjau operasi Pusat Pemberian vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyeru rakyat negeri ini supaya segera berdaftar untuk suntikan vaksin Covid-19.

Tunku Ismail dalam hantaran terbaharu di Facebook rasmi beliau HRH Crown Prince of Johor berkata, vaksinasi dibuktikan dapat mengurangkan penularan wabak Covid-19 dengan berkesan.

"Jika imuniti kelompok dicapai dalam masa terdekat, maka kehidupan kita dapat kembali normal dan pemulihan ekonomi Johor boleh bermula.

"Saya prihatin akan keluhan rakyat mengenai akses kepada vaksin dan yakin dengan usaha Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam memastikan bekalan vaksin yang mencukupi bagi semua Bangsa Johor.

"Sangat penting untuk kita mencapai imuniti kelompok demi membendung penularan wabak ini. Kepada semua Bangsa Johor, saya menyeru agar anda semua mendaftar untuk vaksin Covid-19," katanya yang dimuat naik dalam Facebook rasminya, pada Khamis.

Sebelum itu, Tunku Ismail melawat PPV Persada Johor di sini pada Khamis untuk meninjau pengoperasian program vaksinasi Covid-19.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dan Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

PPV Persada Johor merupakan PPV Mega yang pertama di Johor dan mula beroperasi 7 Jun lalu dan mampu memberi lebih kurang 3000 dos sehari.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Tunku Ismail mengucapkan tahniah kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Southern Volunteers atas usaha mereka membantu barisan hadapan dalam pengoperasian PPV di seluruh negeri.

"Inilah semangat kesukarelawan yang wajar dicontohi oleh semua lapis masyarakat terutamanya golongan belia. Teruskan khidmat mulia ini dan semoga anda semua sihat dan selamat semasa menjalankan tugas," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!