Aktiviti pengisian rohani dapat sambutan di PKRC Pasir Gudang
JOHOR BAHRU - Aktiviti keagamaan seperti hafazan, tilawah al-Quran dan pertandingan azan antara yang dilakukan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Pasir Gudang sebagai pengisian rohani pesakit.
Pengarah PKRC Pasir Gudang, Dr Mohd Fathi Zaki Mohd Zakaria berkata, program pengisian rohani itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pesakit.
Menurut beliau, PKRC Pasir Gudang dibuka pada Februari beroperasi 24 jam bagi merawat pesakit kategori satu dan dua iaitu mereka yang tidak bergejala serta tidak berisiko tinggi.
"Pesakit di sini ada dari kalangan imam dan pensyarah. Pelbagai idea diberikan pesakit termasuk penganjuran pertandingan hafazan dan tilawah al-Quran kepada sukarelawan.
"Sukarelawan juga banyak mengaturkan aktiviti keagamaan sebagai pengisian rohani pesakit," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan 200 naskhah al-Quran dan 100 kotak pelitup muka daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang disampaikan Sekretariat Wakaf Al-Quran WUIF, Hashim Anang di sini pada Khamis.
Dr Mohd Fathi Zaki berkata, pihaknya menghargai sumbangan WUIF dan berharap ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pesakit serta kakitangan.
"Sumbangan naskhah al-Quran ini cukup besar maknanya kepada PKRC Pasir Gudang. Terima kasih kepada WUIF dan kami akan memanfaatkan sumbangan ini untuk dikongsi oleh kakitangan dan pesakit di sini," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, PKRC dikendalikan 120 kakitangan membabitkan agensi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).
Johor mempunyai tiga PKRC iaitu PKRC Pasir Gudang yang mempunyai 1,043 katil, PKRC Swasta di DB Kompleks Iskandar Puteri, Nusajaya dengan 395 katil dan PKRC Olive B Hospital Permai mampu menampung hingga 585 pesakit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!