Rakyat Nigeria mengundi pilih presiden baharu
ABUJA - NIGERIA. Rakyat Nigeria mengundi untuk memilih presiden baharu pada Sabtu selepas penangguhan selama seminggu yang telah mencetuskan tekanan politik, dakwaan konspirasi dan kebimbangan keganasan.
Kelewatan penyerahan beberapa bahan mengundi dan penempatan tenaga pekerja di hampir 120,000 pusat pengundian menyebabkan tempoh lanjutan proses pengundian hingga 2 petang terpaksa dibatalkan.
Keputusan pilihan raya presiden itu dijangka diumumkan pada awal minggu depan dan pemenang akan memegang tampuk pemerintahan selama empat tahun bagi tempoh satu penggal.
Presiden Muhammadu Buhari yang yakin dapat mengekalkan jawatannya turut membuang undi di bandar kelahirannya di Daura.
"Setakat ini, segalanya berjalan lancar. Saya akan mengucapkan tahniah kepada diri saya sendiri kerana saya akan menjadi pemenang," katanya.
Pencabar utamanya, Atiku Abubakar pula mengundi di Yola di negeri Adamawa.
Menjelang proses pengundian itu, seorang tentera terbunuh manakala 20 yang lain cedera selepas militan Boko Haram cuba menyusup masuk ke bandar Maiduguri.
Insiden pertempuran turut tercetus di Auno dan Goniri selain serangan roket di bandar Gwoza. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!