Perak hanya benar 20 petugas ibadah korban

Mohd Yusop Husin
Mohd Yusop Husin
A
A
A

IPOH - Hanya 20 petugas dibenarkan bagi setiap sesi pelaksanaan ibadah korban dan akikah di Perak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, jumlah tersebut termasuk ahli jawatankuasa kariah masjid atau surau dan jawatankuasa korban.

Menurutnya, ibadah korban dan akikah dibenarkan selama empat hari bermula pada Hari Raya Aidiladha 10 Zulhijah dengan beberapa syarat utama.

"Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan semua pelaksanaan berkenaan," katanya menerusi Pekeliling Kebenaran Melaksanakan Ibadah Korban dan Akikah Tahun 2021M/1442H Dalam Tempoh PKP di Perak yang diedarkan kepada media pada Khamis.

Menurut Mohd Yusop, jawatankuasa masjid atau surau dan jawatankuasa ibadah korban digalakkan menggunakan perkhidmatan di Rumah Sembelihan Negeri Perak Jabatan Perkhidmatan Veterinar selain kebenaran penyembelihan di perkarangan masjid atau surau dan premis yang dibenarkan oleh JPV.

Menurutnya, masa penyembelihan pula ditetapkan sebanyak dua sesi iaitu bagi hari pertama bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari manakala sesi kedua bermula jam 2 hingga 6 petang.

Jelasnya, bagi hari kedua hingga keempat, masa penyembelihan bagi sesi pertama bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari manakala sesi kedua pula sama seperti hari pertama.

Mohd Yusop turut menegaskan ibadah korban dan akikah tidak dibenar diadakan di kawasan yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Artikel Berkaitan:

JAIPk juga mengeluarkan garis panduan terperinci prosedur operasi standard (SOP) sepanjang pelaksanaan ibadah korban dan akikah di Perak bagi tahun 2021 menerusi Facebook jabatan berkenaan untuk rujukan orang ramai.

Menerusi garis panduan tersebut, peserta korban dan akikah serta ahli keluarga tidak dibenarkan berada di lokasi ibadah tersebut diadakan kecuali jika disenaraikan sebagai petugas.

Orang awam juga tidak dibenarkan hadir mengambil bungkusan korban dan akikah sebaliknya agihan akan diaturkan serta diedarkan oleh pihak jawatankuasa berkenaan kepada penerima.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!