Yayasan Peneraju jamin tempat di IPT buat pelajar tajaannya

Mohd Redzuan
Mohd Redzuan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yayasan Peneraju akan memastikan pelajar cemerlang daripada keluarga B40 di bawah tajaannya berjaya mendapat peluang melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di dalam dan luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, sasaran itu akan dicapai menerusi kolaboratif strategik yayasan itu dengan beberapa IPT bagi menjamin kesinambungan pembelajaran pelajar tajaannya.

“Modal insan yang dihasilkan ini juga menjadi rebutan di institusi pendidikan luar negara,” katanya ketika sesi dialog secara maya bersama pelajar cemerlang SPM 2020 tajaan Yayasan Peneraju pada Khamis.

Pelajar cemerlang tersebut ditaja di bawah program Peneraju Tunas Geliga pada peringkat sekolah menengah, selama lima tahun.

Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputra atau lebih dikenali sebagai Yayasan Peneraju adalah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang memberikan tumpuan kepada pengukuhan pembinaan keupayaan ke arah bakat Bumiputera yang mampan.

Antara program pembiayaan pendidikan peneraju adalah Peneraju Tunas, Peneraju Skill, Peneraju Profesional, Peneraju Teknologi dan Peneraju Spesialis.

Sejak penubuhannya, Yayasan Peneraju telah memberikan faedah kepada lebih 36,000 penerima di seluruh negara melalui lebih 260 program di bawah pembiayaannya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!