PDRM siasat dakwaan ingkar SOP di Pulapol KL
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.
Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass berkata, dakwaan yang tersebar di platform media sosial itu turut mengandungi beberapa tohmahan terhadap pihak pengurusan Pulapol Kuala Lumpur.
"Jabatan Pengurusan Bukit Aman memandang serius dakwaan dan tohmahan tersebut.
"Siasatan telah dimulakan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran sebarang SOP atau salah laku seperti yang didakwa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam dakwaan yang tular itu, seorang individu mendakwa terdapat beberapa majlis yang berlangsung di Pulapol Kuala Lumpur dengan dihadiri beberapa pegawai terlibat.
Hantaran terbabit turut melampirkan beberapa keping gambar yang dikatakan tidak patuh SOP.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!