Syed Saddiq selar tindakan PN cuba pajak, jual LTSAAS
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyelar tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang cuba untuk menjual atau memajak Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS).
Menurut beliau, kerajaan tidak boleh terlalu mudah untuk menjual aset itu memandangkan pemilikan lapangan terbang tersebut di bawah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan sebagainya.
Syed Saddiq berkata, jika aset tersebut dijual dijangkakan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan kerugian sebanyak RM11.9 bilion, manakala Malaysia Airlines Berhad akan menanggung rugi RM1 bilion setahun.
"Kalau jual kepada tauke, MAHB rugi RM11.9 bilion. Yang untung, tauke sahaja. Yang rugi, rakyat lah.
"Sampai bila nak tunduk kepada wang tauke? Malah CEO MAHB dan MAG pun rayu untuk kerajaan tidak jual aset," katanya dalam satu ciapan di Twitternya pada Khamis.
Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Syed Saddiq tidak menolak penswastaan lapangan terbang itu, namun ia perlu mengikut prosedur yang betul.
Jelasnya, prosedur yang betul berkaitan aset negara adalah dengan membawa cadangan ke Parlimen dan dibahas oleh ahlinya.
"Penswastaan tak salah. Yang salah apabila buat tak ikut prosedur yang telus.
"Buat tender terbuka. Jangan pilih bulu. Proses harus telus dan terbuka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!