Rampas 1,350 karton rokok tidak bercukai dalam van

Shafee
Shafee
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Pasukan Polis Marin Wilayah 1 menahan seorang lelaki dan merampas 1,350 karton rokok tidak bercukai bernilai RM214,002 di Taman Cendana Permai, Simpang Empat di sini pada jam 10.30 pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pihaknya bersama Polis Marin membuat pemerhatian ke atas sebuah van jenis Nissan NV200 di kawasan perumahan tersebut selama 15 minit.

"Ketika pemerhatian itu, didapati seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan menghampiri van tersebut.

"Polis terus memperkenalkan diri dan menahan lelaki berusia 44 tahun tersebut. Hasil pemeriksaan ke atas van itu menjumpai beberapa jenis rokok tidak bercukai yang diletakkan dalam 27 buah kotak di bahagian but van.

"Lelaki tersebut ditahan dan semua barang kes termasuk van berkenaan dirampas. Jumlah keseluruhan rampasan termasuk van adalah RM274,002," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Menurutnya, serbuan itu berdasarkan maklumat dari Unit Risikan Marin yang dijalankan di bawah kawasan pentadbiran Balai Polis Tengah.

"Kawasan serbuan adalah kawasan perumahan namun tiada kamera litar tertutup (cctv) di lokasi tersebut.

"Suspek yang sudah berkahwin dan bekerja sebagai peniaga itu ditahan untuk siasatan lanjut. Semakan mendapati, suspek dari Taman Tambun Indah, Simpang Empat mempunyai 10 rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!