Singapura cari lebih banyak vaksin Covid-19 bukan mRNA

Singapura telah menandatangani perjanjian pembelian hadapan dengan Novavax, sebuah firma bioteknologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) pada Januari tahun ini untuk vaksin non Messenger RNA (mRNA) Covid-19. - Gambar hiasan
Singapura telah menandatangani perjanjian pembelian hadapan dengan Novavax, sebuah firma bioteknologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) pada Januari tahun ini untuk vaksin non Messenger RNA (mRNA) Covid-19. - Gambar hiasan
A
A
A

SINGAPURA - Singapura telah menandatangani perjanjian pembelian hadapan dengan Novavax, sebuah firma bioteknologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) pada Januari tahun ini untuk vaksin non Messenger RNA (mRNA) Covid-19.

Menurut Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, kementeriannya mencari vaksin bukan mRNA yang 'berkualiti, selamat dan berkesan' untuk digunakan dalam program vaksinasi Singapura.

"Baru-baru ini, beberapa ujian klinikal Novavax menunjukkan hasil memberangsangkan, namun penghantarannya tidak dapat dibuat secepat mungkin kerana vaksin itu masih menjalani ujian klinikal fasa tiga.

“Kami bekerjasama rapat dengan Novavax dan menunggu permohonan mereka untuk kelulusan. Kami berharap bekalan vaksin akan sampai sebelum akhir tahun untuk mereka yang ingin menerima vaksin bukan mRNA,” katanya dalam satu sidang akhbar maya Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF) mengenai Covid-19 pada Khamis.

Mengenai program vaksinasi itu, Ye Kung yang juga pengerusi bersama MTF berkata, republik itu menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan.

Sehingga 23 Jun, lebih lima juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan dengan kira-kira tiga juta individu menerima sekurang-kurangnya dos pertama, manakala hampir dua juta lagi mendapat dos kedua.

Bermula 26 Jun, Ye Kung berkata, program vaksinasi negara akan dipergiat "memandangkan kami telah dapat mempercepatkan penghantaran bekalan vaksin.”

Ye Kung berkata, republik itu akan memberikan sehingga 80,000 dos vaksin sehari, berbanding 47,000 pada Khamis dan kira-kira 40,000 pada Mei 2021.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang kita bergerak lebih pantas untuk memastikan sasaran dapat dicapai lebih awal.

"Kita juga berharap dua pertiga penduduk di negara ini lengkap divaksin menjelang Hari Kebangsaan dan kita yakin sasaran itu dapat dicapai,” kata Ye Kung.

Hari Kebangsaan Singapura disambut pada 9 Ogos setiap tahun.

Pada 31 Mei lalu, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong mengumumkan Singapura menyasarkan dua pertiga penduduknya divaksin dengan sekurang-kurangnya dos pertama menjelang awal Julai. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!