Perkukuh pembiayaan berkaitan kemampanan dalam Belanjawan 2022
KUALA LUMPUR - Kerajaan terus komited untuk memastikan pembiayaan yang mencukupi bagi program dan projek berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan memperkukuh dan memperluas pembiayaan berkaitan kemampanan dalam Belanjawan 2022 yang akan datang, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, kerajaan melihat kepentingan pendekatan seluruh negara dari segi merangka dasar utama jangka pendek hingga jangka panjang untuk pembangunan mampan.
“Ini termasuk kesan perubahan iklim terhadap kestabilan kewangan dan ekonomi serta menangani isu berkaitan sosial seperti kemiskinan.
“Kerajaan melihat kepada memacu usaha kemampanan terutamanya dalam memperkenalkan dasar serta insentif cukai dan bukan cukai untuk ekonomi hijau dalam menggalakkan lebih banyak pelaburan tenaga boleh diperbaharui,” katanya pada Persidangan Utama Jawatankuasa Bersama mengenai Perubahan Iklim (JC3) pada Khamis.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan turut melihat kepada infrastruktur dan bandar mampan yang bersesuaian dengan matlamat persekitaran pasca pandemik Covid-19 termasuk mengoptimumkan pengurusan permintaan untuk tenaga, menggalakkan mobiliti rendah karbon dan pembinaan bangunan hijau.
“Akhirnya, matlamat utama untuk inisiatif sedemikian merangkumi mewujudkan ekonomi hijau yang rancak, visi baharu ekopelancongan dan sistem pengangkutan hijau serta menjana rantaian bekalan produk hijau di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Malaysia kini bekerjasama dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mewujudkan Rangka Kerja Pembiayaan Negara Bersepadu, terdiri daripada platform untuk inovasi dan pembaharuan yang merangkumi dasar, peraturan, instrumen kewangan, institusi serta kerjasama awam dan swasta yang lebih besar.
“Kami kini di peringkat akhir pelancaran MySDG Trust Fund dengan kerjasama PBB untuk melengkapkan peruntukan pembangunan ke arah SDG bagi memenuhi sebarang jurang pembiayaan.
“Dana yang diuruskan secara bersama itu akan membolehkan mewujudkan kumpulan dana yang lebih besar yang diperoleh bukan hanya daripada kerajaan tetapi juga sektor swasta, individu dan entiti di seluruh dunia untuk menyumbang kepada program dan projek berkaitan SDG di Malaysia,” katanya.
Menurut Tengku Zafrul, Kementerian Kewangan (MoF) sedang menyelaraskan inisiatif dan program yang merangkumi elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang telah dilaksanakan oleh agensi yang berkaitan di bawah kementerian.
“MoF turut membincangkan mengenai cara bagaimana ini dapat menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab pembiayaan yang mampan sebagai persediaan untuk Pelan Tindakan Pembiayaan Mampan kita.
“Kerajaan telah mengambil pendekatan ‘seluruh negara’ dalam menangani kesan perubahan iklim ke atas kestabilan kewangan dan kemampanan ekonomi,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!