Kedai runcit dipotong bekalan elektrik
TAIPING - Kedai runcit antara premis yang dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik selepas dikesan menjadi tempat kegiatan perjudian.
Tindakan itu diambil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Op Dadu bermula jam 10 pagi pada Khamis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, tindakan pemotongan bekalan elektrik itu dibuat berdasarkan aduan awam dan pemantauan yang dibuat pihaknya.
"Dalam operasi kali ini, sebanyak tiga premis diambil tindakan iaitu membabitkan kedai runcit di Taman Sungai Mas dan Padang Gajah serta kedai baja di Taman Sungai Tinggi.
"Pemotongan elektrik dibuat mengikut peruntukan Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001)," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, sepanjang enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 13 premis di sekitar daerah Taiping telah diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik manakala empat premis dikenakan tindakan pembatalan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Dalam tempoh sama, sebanyak 104 serbuan dijalankan membabitkan tangkapan 124 individu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!