Penunjuk perasaan kembali, ingkar larangan berhimpun

Penunjuk perasaan antikerajaan kembali memenuhi jalan-jalan utama di bandar raya Bangkok, meskipun Thailand kini bergelut dengan peningkatan kes Covid-19 dan sekatan pergerakan separa sedang dikuatkuasakan. - Foto EPA
Penunjuk perasaan antikerajaan kembali memenuhi jalan-jalan utama di bandar raya Bangkok, meskipun Thailand kini bergelut dengan peningkatan kes Covid-19 dan sekatan pergerakan separa sedang dikuatkuasakan. - Foto EPA
A
A
A

BANGKOK - Ribuan penunjuk perasaan antikerajaan kembali memenuhi jalan-jalan utama di bandar raya Bangkok, meskipun Thailand kini bergelut dengan peningkatan kes Covid-19 dan sekatan pergerakan separa sedang dikuatkuasakan.

Perhimpunan pada Khamis menandakan ulang tahun ke-89 revolusi 1932 ketika Thailand mengisytiharkan berakhirnya monarki mutlak dan menyaksikan kelahiran sistem raja berperlembagaan.

Beberapa perhimpunan diadakan pada Khamis termasuk di Monumen Demokrasi di Ratchadamnoen Avenue pada sebelah pagi dan penunjuk perasaan kemudian berarak ke Bangunan Parlimen.

Mereka turut berkumpul di skywalk Pathumwan di Bangkok pada sebelah petang.

Sementara itu, Timbalan Jurucakap Polis, Krisana Pattanacharoen berkata, perhimpunan berskala besar adalah dilarang sama sekali di Bangkok susulan sekatan pergerakan yang melarang perhimpunan melebihi 50 orang.

"Meskipun ramai yang telah divaksin, perhimpunan masih tidak dibenarkan. Tuntutan yang dibuat mestilah mengikut undang-undang, sebagaimana yang dilaksanakan sama rata terhadap semua orang,” katanya seperti dipetik oleh Thai PBS.

Pemimpin tunjuk perasaan Panusaya Sithijirawattanakul dan Parit Chiwarak yang didakwa atas lèse-majesté dan dibenarkan diikat jamin bulan lalu turut dilihat berada di luar Bangunan Parlimen.

Kedua-duanya dilarang terlibat dalam sebarang aktiviti yang mencemarkan nama baik monarki yang antara syarat ikat jamin mereka.

Artikel Berkaitan:

Penunjuk perasaan memperlahankan rentak sejak beberapa bulan kebelakangan ini berikutan gelombang baharu jangkitan Covid-19 sejak awal April.

Sejak pertengahan Julai tahun lalu, penunjuk perasaan di Bangkok mengulangi tuntutan mereka supaya perdana menteri berundur, pembubaran Parlimen dan pindaan Perlembagaan dan pembaharuan monarki. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!