'Saya sudah terlepas peluang, kini giliran anda'
WIRA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mencoretkan kata-kata semangat kepada atlet negara yang akan beraksi di Sukan Olimpik, sukan terbesar dunia yang akan berlangsung tidak sampai sebulan lagi, bermula 23 Julai.
Chong Wei yang juga Chef-de-Misson (CDM) pasukan Malaysia ke Olimpik Tokyo berkata, persediaan untuk 'Olimpik dalam pandemik' ini amat luar biasa, ia mungkin akan memihak kepada sesetengah pihak, dengan keputusan mengejutkan.
Beliau yang kini berusia 38 tahun menyatakan dalam kalendar sukan normal, persediaan Olimpik akan mengambil masa dua tahun menerusi sesi kelayakan dan program-program anjuran Majlis Sukan Negara dan persatuan sukan untuk menajamkan kemahiran, meningkatkan latihan dan memperkuatkan kekuatan mental.
Namun, dengan keadaan pandemik Covid-19 yang masih berlarutan sehingga menyebabkan Olimpik Tokyo ditangguhkan selama setahun, persediaan tidak lagi seperti dahulu, dengan atlet berlatih di bawah gelembung keselamatan dalam kuarantin yang ketat dan banyak kejohanan dan jadual latihan yang tertangguh.
Pemenang tiga pingat Olimpik dan masih atlet negara paling berjaya sehingga kini, juga mengimbas kembali kejayaan terakhir beliau di peringkat Olimpik, mengalahkan bekas juara dan seteru utama Lin Dan dari China di separuh akhir Sukan Olimpik Rio 2016.
"Bila saya kalahkan Lin Dan, tiada yang lebih baik lagi dan berasa bangga. Saya terlalu penat pada perlawanan peringkat separuh akhir. Saya ingatkan akan tewas kepada Lin Dan lagi. Namun saya katakan pada diri saya, untuk tidak kecewakan 32 juta doa dari peminat di Malaysia.
"Ia memberikan saya kekuatan tambahan untuk meraih mata kemenangan. Bagaimana negara meraikannya masih lagi segar dalam ingatan saya. Bayangkan kegembiraan negara jika tubuh saya yang penat itu tidak mengalah, dan saya berjaya mengalahkan Cheng Long sehari selepas itu?
"Saya sudah terlepas peluang saya. Kini giliran anda. Ini masanya di mana yang terbaik akan dapat meneruskannya," tulis Chong Wei dalam Facebooknya.
Selepas gagal untuk memberikan negara pingat yang paling dinantikan dua kali iaitu pada Beijing 2008 dan London 2012, dengan kedua-duanya tewas kepada Lin Dan, Chong Wei hampir memenangi pingat emas di Olimpik Rio, namun dinafikan oleh seorang lagi pemain China Cheng Long pada perlawanan akhir.
Chong Wei juga mengingatkan atlet yang setiap kali mereka membawa lambang negara dan memasuki gelanggang, 32 juta rakyat Malaysia akan menyokong dan mendoakan kejayaan mereka.
"Jadilah seorang rakyat Malaysia.... wira," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!