Setia menanti vaksin Malaysia
PENYOKONG Perancis dan Portugal yang menyaksikan perlawanan terakhir peringkat kumpulan F antara kedua-dua pasukan itu awal pagi semalam pasti gembira apabila pasukan mereka layak ke pusingan kalah mati selepas ini.
Keputusan seri 2-2 dalam perlawanan kumpulan maut itu ‘pemurah’ dengan sepakan penalti apabila Portugal dihadiahkan dua penalti, manakala Perancis mendapat satu sepakan yang disempurnakan Benzema.
Penonton dari Malaysia juga tidak ketinggalan menyaksikan aksi penuh debaran Kejuaraan Euro 2020 yang berlangsung di Puskas Arena Budapest, Hungary.
Suasana di dalam stadium yang meriah dengan penonton – bebas dan seperti tiada lagi virus Covid-19 adalah pemandangan yang amat dicemburui oleh penonton di negara yang masih terkurung di dalam rumah.
Penonton dilihat tidak memakai pelitup muka, berhimpit-himpit dan suasana meriah adalah pemandangan yang dapat dilihat di stadium negara Eropah itu yang boleh memuatkan 61,000 penonton.
Untuk rekod, Hungary pernah dilanda gelombang ketiga pada Mac lalu apabila sebanyak 11,265 kes harian dicatatkan dan kini dalam bulan Jun, kes harian terendah pernah dicatatkan bawah 100 kes.
Negara yang dihuni seramai 9.8 juta orang itu sudah memvaksin separuh daripada penduduknya. Oleh itu, pada 21 Mei lalu, Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban mengumumkan sebahagian besar sekatan ditarik balik termasuklah pemakaian pelitup muka di tempat awam.
Serentak dengan itu, pasar raya dibuka semula, taman awam kembali boleh dilawati, orang ramai juga bebas menjamu selera di restoran-restoran, sistem pendidikan kembali beroperasi dan kehidupan asal sedikit demi sedikit dikembalikan.
Ia adalah hasil kejayaan program vaksinasi yang pantas dan rakyat Hungary menikmati kejayaan tersebut.
Namun, pada Isnin lalu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, adalah tidak adil untuk membandingkan kadar vaksinasi di Malaysia dengan negara kaya yang membeli sejumlah besar vaksin pada peringkat awal secara pukal.
Kata Khairy, negara Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) telah membolot bekalan vaksin, menyebabkan negara lain termasuk Malaysia lambat menerima bekalan tersebut hingga menjejaskan usaha mempercepat kadar vaksinasi kepada penduduk.
Bolot Tambah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu, Hungary misalnya, yang merupakan sebahagian EU menggunakan kuasa beli mereka membolot vaksin lebih awal, selain kilang mengeluarkan vaksin juga berada di Eropah.
Bagaimanapun, kenyataan Khairy dinafikan Duta EU ke Malaysia, Michalis Rokas yang menyifatkan dakwaan tersebut adalah tidak berasas sama sekali.
Kata Rokas, segala permintaan daripada kerajaan Malaysia berhubung agihan vaksin ke Malaysia sudah pun diluluskan tanpa masalah oleh Sekretariat EU.
Berdasarkan laporan media, Rokas berkata, EU telah meluluskan eksport kira-kira lima juta dos vaksin Covid-19 bagi membantu Malaysia mempercepatkan PICK.
Menurut Rokas lagi, sehingga 15 Jun, sejumlah 4.87 juta dos Pfizer-BioNTech dan 560,000 dos AstraZeneca telah dihantar ke Malaysia dan ia diperoleh menerusi skim Akses Global Vaksin Covid-19 (Covax).
Berdasarkan kedua-dua kenyataan itu, penulis lebih mempercayai kenyataan Khairy kerana kita perlu terima hakikat itulah nasib menjadi negara kecil yang merupakan negara pengguna. Kita hanya mampu memohon tetapi kuasa ada pada negara pengeluar.
Bertitik tolak daripada apa yang berlaku, Malaysia perlu mengambil iktibar dalam menyiapkan diri melakukan penyelidikan untuk membangunkan vaksin sendiri pada masa hadapan.
Kita tidak tahu mungkin ada virus yang lebih mencabar akan melanda kelak dan janganlah pisang berbuah dua kali. Malaysia perlu lebih bersedia.
Oleh itu, usaha yang telah dilakukan Institut Kajian Perubatan (IMR) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) membangunkan vaksin Covid-19 perlu dilakukan dengan sebaiknya untuk kepentingan bersama.
Penulis sendiri belum menerima vaksin dan mengharapkan dapat disuntik vaksin keluaran negara sendiri kerana percaya dengan kehebatan saintis tempatan.
* Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!