Berkuburnya akhbar Apple Daily

Surat khabar paling lantang di Hong Kong, Apple Daily mencetak edisi terakhirnya pada Khamis (24 Jun) selepas 26 tahun beroperasi. -Foto AFP
Surat khabar paling lantang di Hong Kong, Apple Daily mencetak edisi terakhirnya pada Khamis (24 Jun) selepas 26 tahun beroperasi. -Foto AFP
A
A
A

SURAT khabar paling lantang di Hong Kong, Apple Daily mencetak edisi terakhirnya pada Khamis (24 Jun) selepas 26 tahun beroperasi.

Sebelumnya pada 17 Jun lalu, seramai 500 anggota polis menyerbu bilik berita, merampas dokumen dan menahan lima pegawai eksekutif termasuk Ketua Pengarang Apple Daily, Ryan Law di bawah undang-undang keselamatan nasional yang baharu.

Serbuan itu kononnya sebahagian daripada siasatan sama ada artikel yang diterbitkan mengancam keselamatan China atau sebaliknya.

Apple Daily sebenarnya sudah lama menjadi ancaman Beijing, ekoran sokongannya terhadap gerakan prodemokrasi dan kritikan berterusan terhadap pemimpin autokrasi China.

Pemilik syarikat akhbar itu, Jimmy Lai kini dipenjarakan dan menjadi antara individu pertama didakwa serta dituduh bersekongkol dengan pihak luar selepas penahanannya tahun lalu, susulan demonstrasi demokrasi besar-besaran pada tahun 2019.

Apa pun, penutupan Apple Daily sudah dijangka selepas pihak berkuasa bertindak membekukan aset syarikat, memaksa akhbar tersebut menamatkan operasi kerana tiada sumber kewangan untuk membayar hampir 1,000 pekerja.

Penutupan Apple Daily sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai kebebasan akhbar dan hak mengeluarkan pendapat di hub kewangan Asia itu yang kini dikawal Beijing.

Beberapa hari sebelum akhbar tersebut mengumumkan cetakan terakhirnya, Ketua Pegawai Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam mengingatkan bahawa media tidak boleh berperanan untuk menumbangkan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tidak ada masalah untuk mengkritik kerajaan Hong Kong tetapi jika ada niat untuk mengatur kegiatan bagi menghasut menjatuhkan kerajaan, maka itu adalah perkara yang berbeza.

Lam berkata, pendakwaan terhadap Apple Daily bukanlah serangan terhadap karya kewartawanan biasa dan akhbar itu berusaha untuk merosakkan keselamatan China dengan liputannya.

Di sebalik sekatan ke atas Apple Daily, kebanyakan pembaca mendesak supaya akhbar itu terus dipertahankan dan dipelihara sebagai sebahagian daripada sejarah Hong Kong.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!