120 hotel sudah ‘check out’

Hotel Plaza Grand sudah menutup operasi sejak tahun lalu dan difahamkan kini sedang mencari pembeli baharu.
Hotel Plaza Grand sudah menutup operasi sejak tahun lalu dan difahamkan kini sedang mencari pembeli baharu.
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas lebih setahun berdepan pandemik Covid-19, sektor perhotelan negara semakin nazak apabila sekurang-kurangnya 120 buah hotel sudah ‘check out’ sama ada menutup operasi secara penuh atau sementara.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng mendedahkan selepas 100 buah hotel ditutup tahun lalu, pada tahun ini sekitar 20 buah hotel lagi mengalami nasib sama akibat kerugian besar.

Katanya, secara total sektor perhotelan kini sudah rugi lebih RM11.3 bilion.

“Sektor perhotelan merupakan antara yang paling teruk terkesan dan sehingga kini masih belum nampak tanda akan pulih sepenuhnya.

“Kami mendapati kira-kira 100 buah hotel ditutup sejak tahun lalu dan pada tahun ini 20 buah hotel lagi terpaksa mengikut jejak. Penutupan hotel-hotel tersebut melibatkan penutupan sementara dan juga kekal,” kata Lip Seng kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Tanpa mendedahkan nama-nama hotel yang menutup operasi, Lip Seng turut berkata, kerugian sektor perhotelan pada tahun ini dijangka lebih buruk berbanding pada tahun lalu memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan dengan penutupan rentas daerah dan negeri sudahpun memasuki separuh tahun.

Katanya, sektor perhotelan menanggung kerugian besar bernilai lebih RM6.3 bilion pada tahun lalu.

“Malangnya untuk tahun ini, kehilangan pendapatan industri perhotelan sudah mencecah RM5 bilion sedangkan sekarang ini kita baru melalui tempoh total lockdwon,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sejak bulan Mac 2020 sektor pelancongan dan perhotelan kehilangan lebih 80 peratus pendapatan walaupun dengan adanya ruang singkat untuk pelancongan domestik antara bulan Jun hingga September tahun lalu.

Hotel Equatorial Penang baru menutup operasinya Mac lalu. Gambar kecil: Lip Seng
Hotel Equatorial Penang baru menutup operasinya Mac lalu. Gambar kecil: Lip Seng

Sementara itu, mengulas tentang pelaksanaan total lockdown, Lip Seng mengakui, langkah tersebut amat perlu bukan sahaja untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dalam komuniti, malah bagi memastikan kelangsungan jangka panjang sektor pelancongan dan perhotelan.

“Bagaimanapun dalam situasi pandemik Covid-19 yang masih tidak menampakkan tanda akan reda, sektor perhotelan amat memerlukan bantuan daripada kerajaan bagi mengelakkan lebih banyak penutupan,” katanya.

Tegas Lip Seng, kelangsungan hidup 3.6 juta orang yang terlibat dalam industri pelancongan dan perhotelan yang semakin tenat ini kini menjadi pertaruhan.

ARTIKEL BERKAITAN: Antara 120 hotel yang terpaksa ucap 'selamat tinggal'

Kami dah lebih setahun ‘berehat’

Dalam pada itu, Presiden MAH, Datuk N Subramaniam dalam satu kenyataan berkata, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus) walaupun dilihat tidak mencukupi untuk sektor membantu perhotelan namun ia tetap dialu-alukan.

Katanya lagi, program subsidi upah jangka panjang perlu dilaksanakan untuk industri pelancongan dan hotel selain diskaun utiliti yang lebih tinggi terutamanya elektrik.

"Kami faham keadaan dan kemampuan kerajaan pada masa ini, dan industri juga dapat lihat keikhlasan kerajaan dengan menteri-menteri yang sanggup mengorbankan gaji masing-masing untuk tiga bulan. Kami berharap ini akan dapat membantu kerajaan memerangi pandemik Covid-19," katanya

Sheraton KL dah genap setahun tutup

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini mendapati banyak hotel yang terpaksa menutup operasi buat sementara waktu, malah lebih buruk ada yang sudah mengibar bendera putih.

“Tak boleh menginap adik, hotel sudah lama tutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP1.0) lagi,” ujar seorang pengawal keselamatan ketika wartawan Sinar Harian singgah di Hotel Plaza Grand di Kuala Lumpur.

Katanya, pemilik hotel berkenaan juga kini sedang mencari pembeli baharu bangunan tersebut kerana mahu menjual hotel berkenaan.

Pada Selasa lalu genap setahun Hotel Sheraton KL menutup operasi.
Pada Selasa lalu genap setahun Hotel Sheraton KL menutup operasi.

Sewaktu singgah ke sebuah lagi hotel bertaraf lima bintang, Sheraton Imperial Kuala Lumpur keadaan sunyi menyelubungi pekarangan hotel mewah berkenaan.

Beberapa kali wartawan Sinar Harian cuba mencari petugas yang mengawal bahagian depan hotel berkenaan tetapi tidak terserempak dengan sesiapa.

"Disebabkan oleh situasi Covid-19, bisnes perhotelan menerima impak teruk sehingga kami perlu membuat keputusan paling sukar untuk menutup operasi Hotel Sheraton Imperal Kuala Lumpur buat sementara waktu bermula 22 Jun 2020," tulis satu nota yang dilekat di depan pintu masuk kaca hotel itu.

Ini bermakna pada Selasa lalu sudah genap setahun Sheraton Imperal Kuala Lumpur tidak beroperasi dan menerima tetamu.Sheraton KL dah genap setahun tutup

Bagaimanapun ada juga hotel yang masih cuba gagah dan gigih melangkah namun mempelbagaikan perniagaan mereka.

Sebuah hotel di tengah-tengah Kuala Lumpur dilihat 'ligat' menjual pelbagai jenis menu makanan yang boleh ditempah dan dibeli secara bungkus kepada orang ramai yang tinggal atau bertugas berdekatan hotel itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!