Maqis rampas 83 tan daging kerbau dari India
JOHOR BAHRU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas kira-kira 83 tan metrik daging kerbau dari India di Pelabuhan Pasir Gudang di sini pada Khamis.
Pengarah Maqis Johor, Hizzuan Hasim berkata, daging kerbau terbabit dibawa menggunakan tiga kontena dan dianggarkan bernilai RM1.3 juta.
Menurutnya, hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan pegawai penguatkuasa Maqis terhadap kesemua kontena terbabit pada jam 2 petang mendapati nombor 'seal' pada kontena tidak sama seperti yang dinyatakan di dalam dokumen pengangkutan barang atau 'bill of lading' yang diikrarkan.
"Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian dengan memberikan permit, lesen, perakuan atau dokumen lain yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan kepada Maqis adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Hizzuan berkata, Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan diperkasakan lagi di semua pintu masuk negara.
"Tindakan ini penting bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!