Empat unit kondo jadi pusat panggilan judi dalam talian diserbu polis
KUALA LUMPUR - Seramai 30 individu ditahan, manakala wang tunai berjumlah RM70,050 dirampas dalam serbuan membabitkan empat unit kondominium di Jalan Tun Razak di sini pada petang Khamis.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, serbuan pertama membabitkan tiga unit rumah di lokasi berkenaan.
Beliau berkata, hasil risikan polis mendapati tiga unit rumah tersebut dijadikan sebagai pusat panggilan sindiket atau 'calling centre' perjudian dalam talian.
"Rentetan serbuan pertama ini, polis kemudian menjalankan serbuan ke atas sebuah lagi unit kondominium di lokasi sama yang mana turut dijadikan pusat panggilan sindiket berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, serbuan ke atas empat unit kondomunium tersebut menyaksikan seramai 30 individu yang bekerja dengan sindiket terbabit ditahan.
"Kesemua yang ditahan berumur 19 hingga 35 tahun. Kita turut merampas wang tunai berjumlah RM70,050 serta beberapa peralatan komputer," katanya.
Tambah beliau, siasatan mendapati sindiket berkenaan menyasarkan mangsa dari Singapura selain warga tempatan.
"Tiga unit kondominium itu disewa RM6,500 hingga RM10,000 sebulan oleh sindiket untuk menjalankan operasi dan menempatkan ahli mereka.
"Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti tempoh mereka beroperasi," ujarnya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 17 Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!