40 ekor lembu terlepas dari rumah penyembelihan di AS
LOS ANGELES - Kira-kira 40 ekor lembu yang terlepas dari sebuah pusat penyembelihan di Los Angeles pada petang Khamis dan merayau-rayau di kawasan kediaman penduduk akhirnya berjaya ditangkap pada hari yang sama.
Lembu-lembu itu didapati merayau-rayau di Pico Rivera di bandar raya tersebut dengan sebahagiannya meragut pokok-pokok di kediaman penduduk.
Pihak penguat kuasa undang-undang dari Pejabat Syerif yang dibantu oleh polis mengambil masa beberapa jam untuk mengepung haiwan tersebut sebelum dibawa menaiki treler untuk dihantar kembali ke rumah penyembelihan.
Menurut AFP, haiwan-haiwan itu terlepas dari sebuah pusat penyembelihan melalui sebuah pintu yang terbuka.
Polis juga menembak mati seekor lembu selepas ia menendang beberapa anggota sebuah keluarga.
Seekor lembu lagi ditemui meragut rumput tidak jauh dari pusat penyembelihan tersebut.
Seorang pegawai Majlis Perbandaran Pico Rivera bagaimanapun berkata, lembu-lembu itu tidak akan dikembalikan ke pusat penyembelihan tersebut tetapi bakal dihantar ke sebuah rumah perlindungan haiwan.
Penghantaran itu dibuat atas permintaan seorang penulis lirik yang pernah memenangi Anugerah Gramy, Emmy dan Golden Globes untuk lagu-lagunya iaitu Diane Warren. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!