Gagal lapor rasuah, pegawai Imigresen didenda RM35,000
KUALA LUMPUR - Seorang pegawai Imigresen didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan gagal melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pemberian rasuah berjumlah RM21,100, tiga tahun lalu.
Muhamad Solihan Johari, 37, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Muhamad Solihan didakwa sebagai pegawai Imigresen di Jabatan Imigresen Bangunan AMC Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang telah diberikan wang suapan berjumlah RM21,100 oleh seorang lelaki, Lew, 44, melalui akaun simpanan milik seorang wanita.
Ia bagi membantu dalam proses dokumen perjalanan warga asing melibatkan visa, pas dan permit Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) yang mana tertuduh telah melanggar peruntukan Seksyen 2(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) menggalakkan integriti dan kebertanggungjawapan pentadbiran sektor awam serta gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada SPRM atau pegawai polis yang paling hampir.
Kesalahan didakwa dilakukan di Maybank cawangan Taman Connaught, Lebuh Raya Timur Barat Cheras, di sini antara 14 Februari hingga 25 Mei 2018.
Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama, yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.
Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana menyesal dengan perbuatan tersebut.
"Saya ada dua anak yang masih kecil, selain menghidap penyakit slip disc (tulang rawan tergelincir)," katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin mencadangkan agar tertuduh didenda antara RM25,000 hingga RM40,000, memandangkan tertuduh mengaku bersalah pada kali pertama pertuduhan dibacakan.
Mengikut fakta kes, pada 2012, tertuduh telah berjumpa dengan Lew yang merupakan ejen warga asing bagi warga Vietnam yang menjalankan kerja-kerja membawa warga asing masuk dan keluar Malaysia selain menjalankan perniagaan cari jodoh bagi rakyat Malaysia yang ingin berkahwin dengan warga asing dari Vietnam.
Lew menyerahkan kad bank milik isterinya kepada tertuduh untuk memudahkan lelaki itu menerima wang rasuah RM250 secara pindahan wang bagi setiap warga asing Vietnam yang dilepas masuk ke Malaysia tanpa mengikut prosedur sah, supaya elak dikesan pihak berkuasa.
Pada 2018, tertuduh telah menerima RM21,100 melalui tiga transaksi sebagai upah hasil daripada pertolongan tertuduh.
Hasil daripada upah itu, tertuduh telah membeli pelbagai harta dan barang-barang antaranya sebuah motosikal, basikal, telefon bimbit, jam pelbagai jenama dan barang kemas.
Sebelum ini, SPRM dilaporkan menahan 46 individu termasuk 27 pegawai Jabatan Imigresen dalam serbuan serentak di empat negeri yang disyaki terlibat dengan sindiket penggunaan guna cop palsu keluar dan masuk di sempadan negara.
Op Selat itu digerakkan SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen yang membabitkan serbuan di Putrajaya, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.
ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai kanan, dua anggota Jabatan Imigresen ditahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!