Ekonomi Malaysia mampu pulih dengan pantas: Pakar
KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia mampu pulih dengan pantas sama ada pada kadar 4.5 peratus tahun ini atau 6.5 peratus pada waktu akan datang sekiranya pelan pemulihan berjalan lancar, kata penganalisis pengurusan krisis, Nordin Abdullah.
Beliau berpendapat bahawa ekonomi negara akan pulih dengan cepat apabila aktiviti ekonomi dibuka sepenuhnya kelak.
"Malaysia adalah negara pengeksport, eksport akan meningkat selepas ekonomi global pulih.
"Sekarang kita melihat ekonomi Eropah sudah kembali pulih manakala China dan bahagian lain di Asia juga sudah bertambah baik," katanya dalam program Bernama TV ‘Midday Update’ di sini pada Jumaat.
Program bual bicara selama 30 minit yang membincangkan mengenai Pelan Pemulihan Negara dan program vaksinasi Covid-19 itu dihoskan oleh Jessy Chahal.
Bank Dunia telah menyemak turun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk tahun 2021 kepada 4.5 peratus daripada enam peratus sebelumnya dalam persekitaran lonjakan semula kes jangkitan Covid-19 yang berlaku pada pertengahan bulan April 2021.
Ia berkata kenaikan kes jangkitan Covid-19 baru-baru ini telah menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaan sistem kesihatan Malaysia sementara pelaksanaan sekatan pergerakan penuh turut memberi kebimbangan.
Menurut ‘Malaysia Economic Monitor: Weathering the Surge’ oleh Bank Dunia yang dikeluarkan pada Rabu, unjuran pertumbuhan ekonomi itu lebih mencerminkan proses yang lebih perlahan tidak seperti dijangka untuk menangani pandemik dan pelaksanaan program vaksinasi.
Keutamaan segera Malaysia perlu ditumpukan kepada pengurusan pandemik yang cekap serta kesannya ke atas individu, isi rumah dan perniagaan, kata laporan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!