MTUC desak kerajaan kaji, kuat kuasa SOP lebih ketat di tempat kerja

MTUC
MTUC
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak kerajaan mengkaji dan menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja dengan lebih ketat.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, ia memandangkan data terkini menunjukkan majoriti kes positif Covid-19 adalah daripada kluster tempat kerja.

Menurut beliau, kerajaan perlu melibatkan MTUC dalam merangka SOP di tempat kerja kerana pengetahuan pekerja yang terlibat secara langsung dalam industri boleh memberi nilai tambah dalam SOP serta boleh mencegah peningkatan kes di tempat kerja.

"Adakah kluster tempat kerja berlaku disebabkan oleh kegagalan majikan mematuhi SOP ataupun SOP yang ada tidak sesuai di tempat kerja.

"Ketidaktentuan ini menunjukkan bahawa satu kegagalan oleh pihak majikan dan wajar diambil tindakan.

"SOP yang khusus kepada majikan perlu dirangka misalnya, sebelum dibenarkan beroperasi, mewajibkan semua pekerja membuat ujian saringan Covid-19 selain laporan wakil pekerja dalam jawatankuasa pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di tempat kerja," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, tidak adil bagi pekerja yang mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tidak dibenarkan bekerja sehingga tiada punca pendapatan kerana kes harian tidak stabil yang disumbangkan oleh kluster tempat kerja.

Dalam kenyataan yang sama, pihaknya turut mendesak kerajaan untuk membuka semula sektor ekonomi selepas 28 Jun kerana kebanyakan pekerja tidak dapat bertahan dalam keadaan tiada sumber pendapatan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pembukaan sektor ekonomi yang lain akan memberikan keadilan kepada pekerja yang bergaji harian.

"MTUC juga mendesak kerajaan memberi bantuan kepada semua keluarga B40 dan M40 sebanyak RM1,200 sebulan dan mengarahkan bank memberi moratorium secara automatik.

"Pemberian bantuan dan moratorium automatik tidak akan mengakibatkan negara muflis.

"Jika kerajaan tidak dapat membantu pekerja dalam keadaan yang sukar ini janganlah menghalang pekerja untuk bekerja dengan tidak membuka sektor-sektor lain," katanya.

Selain itu Kamarul Baharin berkata, pihaknya juga telah mencadangkan agar Peraturan Pekerjaan Darurat (PPD) diperkenalkan untuk menghalang pembuangan kerja selepas MTUC menerima laporan pembuangan kerja secara mendadak.

Tegasnya, MTUC telah menghantar cadangan PPD kepada Kementerian Sumber Manusia semasa PKP 1.0.

"Kerajaan perlu merangka 'Pelan Pekerja' yang telah diberhentikan kerja, yang menganggur dan akan dibuang pasca Covid-19 ini.

"Pelan ini untuk menjelaskan hala tuju kerajaan dalam membantu pekerja yang terjejas," katanya.

Ujar beliau, MTUC juga mendesak kerajaan supaya mempercepatkan pemberian vaksin kepada semua pekerja dan berharap supaya kerajaan telus dalam memberi maklumat berkaitan dengan pemberian vaksin.

"Kelewatan memberikan vaksin telah menimbulkan persoalan sama ada kerajaan telah menerima bekalan vaksin daripada pembekal atau kelewatan kerajaan membeli vaksin atau ada isu lain dalam pengagihan vaksin," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!