200 kg ikan habis diagih tak sampai sejam
IPOH - Tidak sampai sejam sebanyak 200 kilogram (kg) ikan segar berjaya diagihkan kepada penduduk yang memerlukan menerusi Program Agihan Barang Basah di Kampung Tersusun Tawas Tambahan di sini pada Jumaat.
Wakil penganjur, Mohd Salorwadi Mohd Nor berkata, selain ikan segar, sebanyak 200 bungkusan ayam dan hampir satu tan pelbagai jenis sayur-sayuran turut diberikan kepada penduduk yang hadir.
Menurutnya, sumbangan tersebut menyasarkan golongan yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berikutan penularan pandemik Covid-19.
"Pada asalnya kita rancang pengagihan pada jam 8 pagi, namun disebabkan orang ramai sudah beratur seawal jam 7 pagi, jadi kita awalkan program bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi. Sambutan hari ini memang di luar jangkaan.
"Apa yang kami sumbangkan ini adalah untuk bersama-sama berkongsi rezeki kepada mereka yang memerlukan," katanya kepada pemberita selepas program pengagihan barangan tersebut di Kampung Tersusun Tawas Tambahan, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama pada program tersebut, Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Datuk Azizul Kama Abdul Aziz.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif The Bojen Car Wash and Spa berkata, program itu turut dikelolakan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Success Brotherhood Ventures, Anzo Catering dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tersusun Tawas Tambahan.
Jelasnya, pada program itu juga, sebanyak 300 pek barangan keperluan seperti minyak masak, susu cair, gula, tepung dan sebagainya turut diedarkan kepada penerima.
Katanya, program seperti itu akan diteruskan dari masa ke masa melibatkan beberapa lokasi berbeza bagi memastikan golongan terkesan di sekitar Ipoh dapat dibantu.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Tersusun Tawas Tambahan, Mohd Azizi Abd Latif berkata, penganjuran program berkenaan amat membantu golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Menurutnya, daripada 187 rumah di kampung tersebut dianggarkan 70 peratus penduduk di kawasan itu terkesan disebabkan PKP 3.0 yang dilaksanakan memandangkan kebanyakan mereka bekerja sendiri serta tidak mempunyai pendapatan tetap.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!