Lembu, kambing bernilai RM274,000 dicuri
MELAKA - Sebanyak 16 kes kecurian haiwan ternakan iaitu lembu dan kambing dengan nilai kerugian kira-kira RM274,000 dilaporkan di Melaka dalam tempoh 1 Januari hingga Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, daripada jumlah itu, tujuh kes dilaporkan di Alor Gajah, diikuti Jasin (enam) dan Melaka Tengah (tiga) membabitkan 38 ekor lembu dan 10 ekor kambing.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 11 ekor haiwan ternakan dilaporkan dicuri pada Januari, Februari (tiga ekor), Mac (tiga ekor), April (10 ekor), Mei (lima ekor) dan Jun (16 ekor).
"Susulan laporan yang diterima, tujuh lelaki berusia 21 hingga 53 tahun dipercayai dalang kes kecurian berkenaan, ditahan sejak 16 Jun lalu dan masih direman bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
"Kita turut merampas dua ekor lembu dipercayai hasil kegiatan curi tersebut dan saki baki dalang atau penjenayah masih dikesan," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, haiwan ternakan terlibat disyaki dicuri antaranya untuk dijual kepada pembeli bagi persediaan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut umat Islam di negara ini pada bulan depan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pembeli dan penjual agar berhati-hati dalam menjalankan urus niaga khususnya melibatkan haiwan ternakan untuk ibadah korban supaya tidak terlibat dengan hasil yang dicuri.
Mohd Sukri berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam jenayah berkenaan dan orang ramai mempunyai maklumat berkaitan aktiviti berkenaan diminta menyalurkannya kepada pihak polis.
"Penternak juga dinasihatkan lebih berhati-hati menjaga haiwan ternakan masing-masing agar tidak dicuri dan mengambil langkah berjaga-jaga seperti memasang pagar yang lebih kukuh dan jangan biarkan haiwan berkenaan berkeliaran," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!