Enam dicekup, dadah bernilai RM101,644 dirampas
KUALA LUMPUR - Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM101,644 susulan tertangkapnya enam individu dalam serbuan di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Superintendan Mohd Shokri Abdullah berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 25 hingga 36 tahun termasuk dua wanita itu ditahan sepasukan anggota JSJN Kuala Lumpur dalam operasi pada Isnin dan Selasa.
Menurutnya, serbuan turut dilakukan di beberapa premis di tiga lokasi berbeza dan menemui dadah jenis heroin seberat 2.82 kilogram (kg), syabu (0.34kg), ganja (1.23kg), serbuk MDMA (0.53 gram), pil eramin 5 (1,870 biji) dan pil ekstasi (206 biji).
"Polis turut merampas empat buah kenderaan jenis Volkswagen (2) dan Perodua Myvi (2) selain seutas rantai emas serta wang tunai RM11,460," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati premis tersebut dijadikan sebagai tempat penyimpanan dadah dan disewa selama empat bulan dengan anggaran bayaran sewa RM1,500 hingga RM1,800 sebulan.
Katanya, ujian saringan air kencing juga mendapati empat suspek positif dadah selain dua suspek memiliki rekod jenayah dan dadah.
"Kita percaya dengan tangkapan itu, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan dan dikesan aktif di sekitar Lembah Klang," katanya.
Tegasnya, kesemua suspek direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!