Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin dilanjutkan hingga 31 Julai

Mohd Zawawi
Mohd Zawawi
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri melanjutkan tempoh kempen Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin, Peduli Palestin sehingga 31 Julai depan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, ia bagi mengatasi kekangan kepada kebanyakan penyumbang besar yang tidak dapat menjalankan proses transaksi pada waktu ini.

Menurutnya, kutipan semasa setakat ini sebanyak RM370,000 yang akan disalurkan kepada Global Peace Mission (GPM) Malaysia untuk misi sumbangan secara berfasa ke Palestin.

"Perancangan misi sumbangan dan penyaluran kutipan dana akan dilakukan secara berfasa termasuk pembelian ambulans dan tiga trak kecemasan atau Selangor Aid Truck (SELaid), edaran bakul makanan serta bahan bakar untuk generator (elektrik)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, penyumbang di bawah kempen ini layak mendapat potongan cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 tertakluk kelulusan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Tambahnya, kempen akan terus dipergiatkan oleh kerajaan negeri dan GPM untuk mencapai sasaran RM1 juta yang ditetapkan sebelum ini.

Mei lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melancarkan kempen tersebut sebagai tanda solidariti ke atas nasib rakyat Palestin yang menjadi mangsa pengeboman tentera Israel.

Kempen tersebut turut mendapat sokongan daripada agensi yang menyumbang antaranya Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia Selangor.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!