36 pesakit sudah dirawat di Hospital Medan ATM HSA
JOHOR BAHRU - Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini telah merawat 36 pesakit Covid-19 kategori 3 dan 4 sejak mula beroperasi pada 21 Jun lalu.
Komandernya, Mejar (Dr) Mohd Khir Rezza Rahimi berkata, hospital medan itu yang mula didirikan pada 8 Jun lalu melalui kolaboratif pelbagai agensi hanya mengambil masa dua minggu untuk tempoh persiapan sebelum beroperasi.
“Kita mula beroperasi sepenuhnya pada 21 Jun dan menempatkan pesakit-pesakit Covid-19 secara berperingkat. Buat masa ini, terdapat 70 orang petugas ATM dan 50 orang petugas KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).
“Hospital medan ini menempatkan sejumlah 60 katil untuk pesakit Covid-19 kategori 3 dan 4 dan kami juga menyediakan wad ICU (unit rawatan rapi) di medan untuk merawat pesakit yang kritikal.
“Pengoperasian hospital ini diharap akan dapat membantu meningkatkan kapasiti katil wad Covid-19 dan ICU di HSA bagi merawat pesakit Covid-19 di Johor,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan 195 naskhah al-Quran dan 100 kotak pelitup muka daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang disampaikan Sekretariat Wakaf Al-Quran WUIF, Hashim Anang yang juga Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf di sini pada Jumaat.
Dr Mohd Khir Rezza turut berterima kasih di atas sumbangan naskhah al-Quran itu dan mengharapkan ia akan dimanfaatkan oleh semua petugas dan pesakit di hospital medan itu.
“Semoga dengan kehadiran al-Quran ini akan dapat memberkati lagi pengoperasian ketika waktu sukar ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!