KDA FC harap Piala AFC 2021 tidak dibatalkan
KUALA LUMPUR - Kedah Darul Aman (KDA) FC berharap agar penganjuran Piala Konfederasi Bola Sepak Asia 2021 (AFC 2021) tidak dibatalkan memandangkan mereka sudah menjalani persiapan rapi terutamanya dalam tempoh saingan Liga Malaysia (Liga-M) sedang ‘berehat’ ketika ini.
Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak bagaimanapun berkata, skuad Lang Merah bersedia dengan segala kemungkinan mengenai saingan Piala AFC 2021 yang ketika ini menemui jalan buntu selepas Singapura menarik diri untuk menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan.
Jelasnya, mereka sentiasa bersedia sekiranya kejohanan itu diadakan di mana-mana negara sekalipun kerana apa yang penting adalah usaha barisan pemainnya bekerja keras sejak musim lepas untuk memastikan dapat beraksi dalam kempen Piala AFC.
“Kami tetap profesional dan masih sabar menunggu keputusan yang akan dibuat itu, selain latihan juga masih dilakukan seperti biasa.
“Yang penting, saya bersyukur kami masih dapat menjalani latihan cuma tiada apa yang pasti lagi ketika ini, jadi mahu atau tidak, kami kena sentiasa bersedia kerana apa-apa sahaja boleh berlaku,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Jumaat.
Pada 27 Mei lalu, Singapura menarik diri daripada menganjurkan saingan Kumpulan H dan I Piala AFC 2021 yang sepatutnya berlangsung 29 Jun hingga 6 Julai berikutan situasi pandemik Covid-19.
KDA FC diundi dalam Kumpulan H bersama Lion City Sailors (Singapura), Saigon FC (Vietnam) dan Persipura Jayapura (Indonesia), manakala satu lagi wakil Malaysia iaitu Terengganu FC dalam Kumpulan I bersama Geylang International FC (Singapura), Kaya FC-Ioilo (Filipina) dan satu lagi pasukan yang akan ditentukan menerusi perlawanan playoff.
Mengenai perkembangan KDA FC yang sedang menjalani latihan secara ‘camp-based training’ di Baling, Aidil Sharin menuntut barisan pemain tidak hanya memikirkan mengenai Piala AFC sahaja, sebaliknya perlu mengambil serius baki aksi Liga Super dijangka lebih sengit selepas kembali berlangsung pada 24 Julai depan.
Meskipun ketika ini KDA FC selesa di tangga ketiga liga, beliau mengingatkan pemainnya agar tidak leka dengan situasi tersebut kerana merasakan kedudukan itu mampu dicabar lawan seperti Selangor FC, Kuala Lumpur City FC atau Penang FC. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!