MOM akur Jun Hoong terlepas slot Olimpik

Jun Hoong terpaksa melupakan impian beraksi pada Sukan Olimpik di Tokyo.
Jun Hoong terpaksa melupakan impian beraksi pada Sukan Olimpik di Tokyo.
A
A
A

MESKIPUN Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Rabu lepas berhubung isu slot kelayakan atlet terjun negara, Cheong Jun Hoong, namun keputusan mungkin kekal tidak berubah.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, Persekutuan Sukan Antarabangsa (IF) mempunyai kuasa menentukan kriteria kelayakan sukan tertentu, terutamanya semasa pandemik Covid-19 yang belum pernah terjadi sebelum ini.

"Kita telah mengemukakan rayuan kepada IOC meminta mereka mempertimbangkan kembali isu ini kerana pada awalnya dimaklumkan bahawa 18 penerjun teratas di Piala Dunia Terjun 2021 akan layak, tetapi dikurangkan menjadi 15... jadi kita perlu melihat perkara ini sekali lagi.

"Namun, kita semua tahu bahawa pada dasarnya semua garis panduan dan peraturan ini ditetapkan oleh IF dan dalam isu FINA (Persekutuan Renang Antarabangsa), jadi mereka mempunyai kuasa untuk menentukannya.

"Sama seperti Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang terpaksa membatalkan beberapa kejohanan kelayakan, sekali gus telah menjejaskan keseluruhan proses,” katanya pada Jumaat.

Pada 23 Jun lalu, Setiausaha Agung Persatuan Renang Malaysia, Mae Chan mengesahkan bahawa bekas juara dunia, Jun Hoong terlepas peluang untuk beraksi dalam sukan Olimpik Tokyo bulan depan.

Ia berikutan keputusan FINA yang memutuskan hanya 15 penerjun terbaik dalam acara 10 meter (m) platform individu wanita di Piala Dunia Terjun FINA 2021 layak ke temasya sukan terbesar dunia itu, kerana kuota dihadkan kepada 68 setiap kategori lelaki dan wanita.

Selain Jun Hoong, penerjun lain, Muhammad Syafiq Puteh juga terlepas slot untuk beraksi dalam acara 3m papan anjal lelaki, disebabkan format baharu itu.

Artikel Berkaitan:

Empat penerju wanita negara yang akan berakhir pada sukan Olimpik Tokyo ialah Pandelela Rinong dalam acara 10m platform individu dan 10m platform seirama, Nur Dhabitah Sabri (3m papan anjal individu ), Wendy Ng Yan Yee (3m papan anjal individu) dan Leong Mun Yee (10m platform seirama). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!