Gerobok Rezeki pupuk semangat kekitaan harungi pandemik

Antara barangan sumbangan yang disalurkan oleh Rina ialah barangan keperluan asas termasuk lampin dan susu.
Antara barangan sumbangan yang disalurkan oleh Rina ialah barangan keperluan asas termasuk lampin dan susu.
A
A
A

SEPANG - Program Gerobok Rezeki yang dilaksanakan oleh penduduk di sini dilihat mampu meningkatkan semangat kekitaan dan saling membantu antara masyarakat untuk mengharungi waktu sukar ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata demikian ketika melawat dan memberi sumbangan barangan keperluan di beberapa Gerobok Rezeki yang ditempatkan di sekitar Sepang pada Jumaat.

Menurutnya, inisiatif sebegini wajar disokong oleh penduduk setempat yang mampu menyumbang kepada gerobok tersebut bagi membantu golongan sekitar yang kurang berkemampuan dan terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Ada dalam kalangan kita yang mengalami keadaan kecemasan, yang mana mungkin kehabisan barang keperluan, jadi mereka boleh datang dan ambil barangan keperluan asas di gerobok-gerobok yang disediakan pada bila-bila masa.

“Ini satu inisiatif yang baik bukan sahaja menggalakkan golongan berkemampuan untuk menderma, tapi dalam masa sama ia juga mengisi keperluan sesetengah pihak yang tidak tersenarai dalam penerima bantuan,” katanya pada sidang akhbar di Taman Desa Vista, di sini pada Jumaat.

Selain lawatan dan sumbangan barangan keperluan asas di beberapa Gerobok Rezeki, Rina turut meluangkan masa melawat beberapa keluarga yang terkesan akibat pandemik Covid-19 untuk memberikan bantuan.

Dalam pada itu, Nazir Masjid Al-Makmur Kampung Giching, Mohd Zahari Mustam berkata, Gerobok Rezeki di masjid tersebut dibina pada Mac lalu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi membantu ahli kariah yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Rina (kiri) menyerahkan barangan sumbangan kepada pihak Masjid Al-Makmur, Sepang sebagai tanda sokongan program Gerobok Rezeki pihak masjid tersebut.
Rina (kiri) menyerahkan barangan sumbangan kepada pihak Masjid Al-Makmur, Sepang sebagai tanda sokongan program Gerobok Rezeki pihak masjid tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kedatangan Rina untuk menyumbang barangan keperluan asas di masjid tersebut sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif pihaknya amat dihargai.

Mohd Zahari berkata, sambutan daripada penduduk setempat sangat menggalakkan, yang mana gerobok tersebut sentiasa perlu diisi dengan barangan keperluan asas setiap dua hari.

“Pihak masjid mengambil inisiatif untuk menubuhkan Gerobok Rezeki yang mana konsepnya terbuka kepada mana-mana ahli kariah yang ingin menyumbang untuk berkongsi rezeki.

“Setakat ini, pihak masjid hanya menggunakan RM500 daripada dana masjid untuk menambah stok barangan keperluan asas di gerobok tersebut, selebihnya adalah sumbangan daripada ahli kariah dan penduduk setempat,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, Penyelaras Gerobok Rezeki Masjid Al-Makmur, Mohd Rossdi Wahab berkata, barangan sumbangan seperti beras seberat 10 kilogram akan dibungkus semula dalam kuantiti lebih kecil bagi meningkatkan jumlah pengambilan barangan tersebut untuk kegunaan kecemasan.

Katanya, matlamat utama penganjuran gerobok tersebut adalah untuk membantu golongan yang benar-benar memerlukan bantuan terutamanya dalam situasi kecemasan seperti terputus bekalan makanan.

“Kita tidak khususkan kepada asnaf dan penerima bantuan semata-mata kerana terdapat individu malu untuk meminta bantuan, malah ada juga penyumbang yang tidak mahu dikenali datang ke gerobok tersebut untuk meletakkan barang sumbangan dan terus beredar.

“Namun, jika terdapat individu yang terlalu kerap mengambil barangan daripada gerobok ini, unit kebajikan masjid akan memantau untuk mengenal pasti jika individu tersebut wajar mendapat bantuan lebih daripada pihak berwajib,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!