Ubat tahan sakit bukan alternatif rawat arthritis

 Dr Anwar Samhari
Dr Anwar Samhari
A
A
A

SHAH ALAM - Ubat tahan sakit atau ‘painkiller’ bukan alternatif untuk merawat penyakit arthritis atau radang sendi.

Pakar Reumatologi daripada Pusat Pakar Sendi, Urat dan Tulang Pulau Pinang, Dr Anwar Samhari Mat Arshad berkata, ubat tersebut berfungsi untuk mengurangkan simptom sahaja.

Jelasnya, masyarakat juga perlu sedar bahawa ubat tahan sakit berkesan untuk merawat sakit tertentu tetapi dalam masa sama akan menyebabkan banyak kesan sampingan.

“Paling penting ialah kami hendak wujudkan kesedaran awam bahawa ubat tahan sakit berkesan menghilangkan simptom, gejala, kemerahan, bengkak dan kekakuan (sendi) pada waktu pagi.

“Ia hanya mengurangkan simptom dan tidak merawat punca kerana setiap penyakit itu ada punca dan akibat (yang memerlukan rawatan),” katanya ketika menjadi tetamu Sinar Live bagi membincangkan tajuk ‘Awas! Arthritis Tak Kenal Usia’ di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Dr Anwar Samhari (kanan) ketika menjadi tetamu Sinar Live bagi membincangkan tajuk ‘Awas! Arthritis Tak Kenal Usia’ di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
Dr Anwar Samhari (kanan) ketika menjadi tetamu Sinar Live bagi membincangkan tajuk ‘Awas! Arthritis Tak Kenal Usia’ di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.

Jelasnya, tahap kesedaran masyarakat terhadap penyakit berkaitan sendi itu juga masih rendah kerana menganggapnya tidak serius.

“Ada juga pesakit memberitahu mereka tidak sakit tetapi mengalami kekakuan atau kelemahan pada sendi.

“Maknanya mereka sudah tidak dapat menggunakan sendi dengan baik seperti tidak boleh sikat rambut, angkat tangan, pakai baju dan sebagainya disebabkan kekakuan pada otot itu,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, disebabkan tidak mengalami sakit yang ketara itu antara sebab mengapa pesakit arthritis tidak mendapatkan rawatan segera.

Katanya, asid urik yang berlebihan juga antara penyebab utama sakit sendi dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Penyakit ini juga boleh dicegah sekiranya dikesan lebih awal. Pencegahan awal penting bagi memastikan penyakit itu tidak melarat,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!