Kosongkan tangki septik setiap 2 tahun: IWK

sinar
sinar
A
A
A

SEREMBAN - Indah Water Konsortium (IWK) menasihatkan kepada orang awam supaya mengosongkan tangki septik mereka setiap dua tahun sekali.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Korporat dan Komunikasi IWK Kuala Lumpur, pengosongan tangki septik itu penting bagi memastikan tangki berada dalam keadaan bersih serta dapat memulihara alam sekitar.

“IWK menggesa orang awam yang menggunakan tangki septik individu agar mengosongkan tangki septik sekurang-kurangnya dua tahun sekali mengikut saiz tangki dan saiz isi rumah.

“Ini untuk memastikan tangki septik tersebut dapat berfungsi dengan baik sekali gus dapat memulihara alam sekitar. Tangki septik individu yang tidak dikosongkan secara berkala boleh mengancam kesihatan awam,” kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, tangki septik individu merupakan salah satu sistem pembetungan dan mempunyai tiga sehingga empat penutup logam bersegi empat tepat yang lazimnya berada dalam perimeter premis sama ada di bahagian hadapan, belakang atau tepi premis.

Katanya, air sisa kumbahan domestik daripada premis akan mengalir masuk ke dalam tangki septik individu untuk rawatan dan simpanan.

Mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) di bawah Seksyen 65 (1)(c), menyatakan pemilik tangki septik individu perlu mengosongkan, menyelenggara dan menjaga tangki septik tersebut.

Kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan aduan seorang penduduk yang disiarkan Sinar Harian, mendakwa udara tercemar dari sistem pembetungan.

Artikel Berkaitan:

“Wakil Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersama wakil IWK telah melawat ke premis tersebut pada 20 Februari 2019 dan mendapati premis ini menggunakan tangki septik individu dan ia berada dalam keadaan baik.

“Mengikut rekod IWK, tarikh terakhir tangki septik tersebut dikosongkan adalah pada 30 Januari 2015,” katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan pengosongan tangki septik, sila hubungi pejabat operasi IWK atau layari laman web www.iwk.com.my.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!