Sejarah Bukit Kepong dikenang
PAGOH - Polis Johor akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi menjadikan lawatan ke Galeri Darurat Bukit Kepong, di sini, sebagai salah satu aktiviti kurikulum sekolah.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, cadangan itu adalah sebagai pendekatan untuk golongan murid dan pelajar menghayati erti perjuangan.
“Insya-ALLAH PDRM Johor akan berusaha dengan JPN untuk jadikan galeri ini sebagai lawatan kurikulum untuk generasi muda.
“Sebab zaman sekarang adalah zaman aman yang mana kebanyakan masyarakat tak dapat menilai erti pengorbanan dan keselamatan. Kalau tidak datang melihat pameran ini, mereka tak akan berpeluang menilai hasil usaha pejuang kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Yassin dan Tahlil Sempena Memperingati Peristiwa Bukit Kepong ke-69 di Galeri Darurat Bukit Kepong, semalam.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor merangkap ADUN Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal; Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din dan Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip.
Menurut Mohd Khalil, pihaknya berharap juga agar Galeri Darurat Bukit Kepong dapat didaftarkan sebagai produk tarikan pelancongan pada masa akan datang.
“Memang ia sudah ada, tetapi jumlah atau kapasiti pengunjung ke sini masih boleh dipertingkatkan lagi. Kalau di luar negara, tempat seperti ini akan menjadi produk pelancongan yang hebat.
“Kita di pihak polis pun bincang dengan muzium PDRM untuk bagaimana kita boleh naik taraf apa yang ada di sini supaya kita boleh persembahkan dengan lebih baik kepada pelancong khususnya dari luar negara.
“Saya sendiri apabila berjalan (melihat ruang galeri) tetap berasa kagum walaupun sudah mengetahui mengenai peristiwa Bukit Kepong. Ia tetap menyentuh perasaan saya dan rasa sebak jugalah. Kalau kita bawa pelajar dan pelancong, mereka akan tahu dan hayati peristiwa ini kelak,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai sama ada lokasi Galeri Darurat Bukit Kepong ini akan dijadikan sebagai lokasi kepada jambori tahunan kepada unit beruniform sekolah khususnya Kadet Polis, beliau berkata, ia cadangan yang baik dan akan memperhalusinya.
“Biasanya jambori ini (Kadet Polis) kita biarkan mereka terutama pengelola untuk membuat keputusan termasuk memilih tempat untuk melaksanakannya.
“Saya fikir kalau ia (jambori) itu dibuat di sini, ia akan memberi nilai tambah (kepada Galeri Darurat Bukit Kepong) ini kelak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!