FINA buat 'u-turn', Jun Hoong layak ke Tokyo

Jun Hoong
Jun Hoong
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Renang Malaysia (MS) pada Sabtu mengesahkan bekas juara dunia, Cheong Jun Hoong dapat beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo bulan depan, berikutan keputusan ‘U-turn’ Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA).

Setiausaha Agung MS, Mae Chan berkata, FINA dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) telah membatalkan keputusan mereka sebelum ini dan memasukkan 18 penerjun terbaik dalam acara platform 10 meter (m) individu wanita kejohanan Piala Dunia Terjun FINA 2021 ke Olimpik.

“Kami dengan berbesar hati memberitahu bahawa Jun Hoong mendapat slotnya kembali untuk ke Olimpik. Terima kasih kepada Presiden FINA yang baru dilantik, Husain Al Musallam.

“FINA dan IOC telah membatalkan keputusan mereka dan memasukkan 18 penerjun terbaik ke Olimpik,” katanya kepada pemberita menerusi aplikasi WhatsApp.

Mae berkata, perkembangan terbaharu itu diterima melalui e-mel daripada FINA pada Jumaat.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyambut baik perkembangan positif tersebut.

“Terima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia dan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) atas usaha serta kerja keras dalam memastikan skuad terjun negara sentiasa memberikan pencapaian yang terbaik dan mendapat tempat selayaknya secara merit,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook rasminya.

Jun Hoong, 31, akan menyertai empat penerjun wanita negara yang terlebih dahulu layak ke Olimpik iaitu Pandelela Rinong Pamg (10m platform individu dan 10m platform seirama), Nur Dhabitah Sabri (3m papan anjal individu), Wendy Ng Yan Yee (3m papan anjal individu) dan Leong Mun Yee (10m platform seirama).

Artikel Berkaitan:

Rabu lalu MS mengesahkan Jun Hoong terlepas peluang untuk ke Olimpik selepas FINA memutuskan hanya membenarkan 15 penerjun bagi acara platform 10m individu wanita dalam kejohanan Piala Dunia Terjun FINA layak ke temasya sukan terbesar di dunia itu.

Pada Piala Dunia 2021 itu, Jun Hoong menamatkan saingan separuh akhir acara 10m platform individu wanita pada kedudukan terakhir, namun mengesahkan tempat ke Olimpik apabila berada dalam kelompok 18 penerjun terbaik kejohanan itu untuk mengisi slot ke Tokyo sebelum FINA membuat keputusan membenarkan 15 penerjun terbaik ke Olimpik. - Bernama

TAG: MS, jun hoong, Olimpik, mae chan, FINA, datuk seri reezal merican naina merican

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!