82 peratus penduduk Labuan sudah daftar vaksinasi

Proses vaksinasi Covid-19 di Labun capai kemuncaknya dengan 82 peratus penduduk dewasa telah daftar dalam PICK menerusi aplikasi MySejahtera. Gambar hiasan.
Proses vaksinasi Covid-19 di Labun capai kemuncaknya dengan 82 peratus penduduk dewasa telah daftar dalam PICK menerusi aplikasi MySejahtera. Gambar hiasan.
A
A
A

LABUAN - Proses vaksinasi Covid-19 di pulau bebas cukai di sini mencapai kemuncaknya dengan 82 peratus daripada jumlah penduduk dewasa telah mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), menerusi aplikasi MySejahtera.

Wilayah Persekutuan ini adalah antara empat negeri yang merekodkan peratusan tertinggi pendaftaran vaksinasi, dengan Putrajaya dan Kuala Lumpur masing-masing mencapai 100 peratus dan Selangor (82.34 peratus), manakala Sabah mencatatkan peratusan terendah dengan hanya 30.88 peratus setakat Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Labuan, Rithuan Ismail berkata, peratusan pendaftaran yang tinggi itu menunjukkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya imunisasi.

“Ini bermakna kita mempunyai pandangan luas mengenai kesan vaksin dalam kalangan penduduk tempatan...hantaran mengenai pengalaman divaksin menerusi pelbagai platform media sosial juga satu cara untuk menormalkan vaksinasi, sekali gus mendorong orang ramai untuk mendaftar,” katanya.

Beliau berkata,pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) baharu di Kolej Matrikulasi Labuan secara ‘walk-in’ (pendaftaran manual melalui Majlis Perwakilan Penduduk-MPP) banyak membantu mempercepatkan proses vaksinasi dan berharap ia meningkatkan keyakinan rakyat untuk proses vaksinasi yang cepat.

Rithuan berkata, kaedah vaksinasi secara ‘walk-in’ itu juga diperluaskan ke PPV sedia ada di Dewan Sri Labuan JKR selepas 12 tengah hari setiap hari untuk penduduk sekitar.

“Perkara utama mengenai peratusan tinggi ini ialah kita dapat melihat kesan positif daripada proses vaksinasi dengan banyak vaksin telah diberikan di seluruh negara dan tidak lama lagi, kita akan dapat mengembara, melawat ahli keluarga dan merasa selamat,” katanya.

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Isnin lalu dilaporkan berkata, kerajaan sedang memperhalusi beberapa kelonggaran termasuk kelulusan untuk merentas negeri kepada mereka yang sudah melengkapkan dos vaksin Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rithuan berkata, MPP memulakan kempen vaksin secara aktif di zon-zon berkepadatan penduduk yang tinggi, mengedarkan kupon janji temu vaksin, sebagai sebahagian daripada usaha CITF Labuan untuk mempercepatkan vaksinasi di pulau ini bagi mencapai sasaran imuniti kelompok pada pertengahan Julai.

“Kita tidak boleh menafikan peranan media tempatan dalam membantu kita menyebarkan berita positif mengenai vaksinasi...sama ada dalam portal rasmi atau platform media sosial peribadi iaitu Facebook...berkongsi cerita vaksinasi adalah cara untuk menjadi telus mengenai pengalaman dan menggalakkan rakan lain untuk berbuat demikian,” katanya.

Labuan kini mempunyai empat PPV selain Dewan Sri JKR dan Kolej Matrikulasi Labuan iaitu Kompleks Darul Kifayah dan Dewan Blok L Taman Mutiara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!