1,200 penduduk terkesan banjir terima vaksin Covid-19

Seawal jam 9 pagi lagi kawasan utama pendaftaran vaksin di Masjid Lubok Stol di banjiri penduduk berdekatan.
Seawal jam 9 pagi lagi kawasan utama pendaftaran vaksin di Masjid Lubok Stol di banjiri penduduk berdekatan.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Seramai 1,200 penduduk di sini yang berdepan bencana banjir menjelang hujung tahun ini telah menerima vaksinasi Covid-19 masing-masing pada Sabtu.

Pemberian vaksinasi melibatkan enam lokasi Program Outreach Vaksinasi Covid-19 tersebut memfokuskan kepada penduduk yang sering kali berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah ini.

Enam lokasi berkenaan ialah di Masjid Banggol Naim, Masjid Mukim Meranti, Masjid Banggol Setol, Masjid Bongor, Masjid Beijing dan Masjid Lubok Stol.

Seorang penduduk, Abdu Ghani Hassan, 65 tahun yang tinggal di Kampung Banggol Kekabu di sini memberitahu, dia amat bersyukur kerana turut tersenarai dalam penerima vaksinasi berkenaan pada Sabtu.

Abdu Ghani Hassan
Abdu Ghani Hassan

Abdu Ghani yang mempunyai empat penyakit kronik iaitu sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang bimbang jika mereka terpaksa berpindah ke PPS bila tiba musim bah nanti.

"Saya risau, saya banyak penyakit. Biasanya kami kena pindah ke PPS sebab kalau banjir, memang air depan rumah naik sampai paras leher.

"Dengan vaksinasi ini, sekurang-kurangnya dapat membantu ketahanan diri saya jika berada di PPS bersama penduduk lain. Kami pun berharap agar musim tengkujuh kali ini tidaklah sebesar sebelum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi Anak Abdu Ghani iaitu Siti Nur Akma, 37, dia amat gembira kerana bapa dan ibunya, Sapinah Ismail, 63, telah menerima vaksin dos pertama masing-masing di Masjid Lubok Stol pada Sabtu kerana itu antara persiapan awal mereka jika perlu berpindah ke PPS.

Siti Nur Akma
Siti Nur Akma

"Sebelum ini kami risau nak pindah ke PPS sebab bimbang jangkitan Covid-19 walaupun kerajaan telah tetapkan prosedur operasi standard (SOP) tertentu.

"Tapi apabila sudah vaksin, yakin sikit untuk ke PPS sebab kalau nak duduk rumah pun kita berdepan pelbagai risiko juga dengan bencana banjir itu," katanya.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Pasir Mas, Dr Najihah Mahfuzah Zakria ketika ditemui di Masjid Lubok Stol memberitahu, sebanyak 200 dos vaksin jenis Sinovac disediakan untuk setiap enam program 'outreach' berkenaan.

Katanya, langkah vaksinasi berkenaan adalah untuk membantu persediaan imunisasi penduduk yang berdepan bencana banjir di negeri ini terutamanya mereka yang perlu berpindah ke PPS.

"Untuk bulan Julai nanti, kita mungkin akan gandakan lagi pemberian vaksinasi ini mengikut bekalan vaksin yang disediakan. Insya-ALLAH kita bercadang untuk selesaikan vaksinasi ini sebelum tibanya musim monsun," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!