Kerajaan tidak benarkan jantina ketiga di Malaysia
SHAH ALAM - Kerajaan tidak bersetuju dengan usaha untuk membenarkan jantina ketiga di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia sebagaimana Malaysia juga tidak mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ).
Menurutnya, pendirian kerajaan itu ditegaskan beliau ketika menyampaikan amanat melalui persidangan dalam talian bersama Ahli Jawatankuasa Penyelidik Kajian Implikasi Gender Ketiga.
"Prinsip saya, hujah perlu dibalas dengan hujah. Maka, hujah yang tuntas perlu dikemukakan," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Jumaat.
Zulkifli berkata, persidangan itu dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pada Februari lalu, Zulkifli dilaporkan berkata, Malaysia menolak dasar luar pentadbiran baharu Amerika Syarikat yang mahu mempromosikan hak asasi golongan LGBTQ di seluruh dunia.
Kata beliau, LGBTQ sejak awal lagi menyalahi normal manusia biasa.
"Justeru ia bertentangan dengan syariat Islam dan kerajaan tidak menyokong sebarang kempen yang dilabelkan LGBTQ di negara ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!