Movak libatkan 500,000 peniaga, penjaja kecil seluruh negara

Zuraida (dua dari kanan) dan Halimah pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Program Mobilisasi Vaksinasi Komuniti (Movak) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Muafakat Johor Taman Adda, Johor Bahru pada Sabtu.
Zuraida (dua dari kanan) dan Halimah pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Program Mobilisasi Vaksinasi Komuniti (Movak) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Muafakat Johor Taman Adda, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan akan melaksanakan program vaksinasi Covid-19 melibatkan lebih 500,000 peniaga dan penjaja kecil di seluruh negara menerusi program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, inisiatif itu yang akan dilancarkan pada 6 Julai depan mengambil kira keperluan golongan berkenaan untuk dilindungi ketika berurusan dengan orang ramai dalam meneruskan aktiviti ekonomi perniagaan.

Menurut Zuraida, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi menjayakan program itu.

"Logistik yang disediakan untuk Movak ini akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan serta ekosistem lengkap mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mereka telah bersetuju.

"Kita akan lancarkan pada 6 Julai depan dengan pelaksanaan program ini menggunakan unit bergerak untuk pergi kepada peniaga-peniaga kecil ini.

"Ia secara tidak langsung akan memberikan keyakinan dan keselamatan untuk mereka meneruskan aktiviti ekonomi mereka dan menjana pendapatan.

"Peniaga kecil yang belum mendaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), boleh mula mendaftar bagi memudahkan urusan pemvaksinan nanti," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Program Mobilisasi Vaksinasi Komuniti (Movak) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Muafakat Johor Taman Adda di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Artikel Berkaitan:

Pelaksanaan program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) adalah salah satu usaha kerajaan dalam membantu proses pemberian vaksin kepada rakyat terutamanya masyarakat luar bandar, sekali gus meningkatkan kadar vaksinasi Covid-19 di negara ini.

Ia adalah inisiatif oleh Kementerian Perpaduan Negara serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, selepas mengambil kira faktor penduduk yang belum mendaftar suntikan vaksin Covid-19 disebabkan kekangan capaian internet dan ketiadaan telefon pintar.

Tiga unit gerak kerja yang ditubuhkan di bawah MOVAK merangkumi unit panggilan, unit mobilisasi dan unit tindakan komuniti bagi membantu kelancaran program vaksinasi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!