Guru rugi RM48,000 jadi mangsa 'Love Scam'
ALOR SETAR - Seorang guru wanita berusia 44 tahun mengalami kerugian RM48,000, selepas diperdaya seorang lelaki yang dikenalinya menerusi Facebook, sejak awal bulan ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa yang sudah berkahwin itu berkenalan dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai sebagai ‘Monsur Najibullah’ dan kononnya berasal dari Singapura.
“Mangsa yang berasal dari Perak berkenalan dengan suspek menerusi Facebook pada awal Jun dan kemudian mula berhubung melalui aplikasi WhatsApp. Selepas itu suspek memberitahu bahawa dia telah mengirim barangan kepada mangsa sebagai tanda perkenalan.
“Kemudian mangsa telah dihubungi oleh seorang individu yang mengaku dari pihak syarikat kurier yang memberitahu mangsa bahawa terdapat barangan yang dikirim dan meminta mangsa membuat bayaran cukai dan denda bagi membolehkan barangan itu dihantar kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Elias berkata, atas dasar percaya, mangsa telah membuat enam pindahan wang secara dalam talian ke dua akaun bank yang diberikan suspek, membabitkan jumlah transaksi sebanyak RM48,000.
Katanya, mangsa menyedari ditipu selepas diminta untuk membuat pembayaran lagi sebelum dia bertindak membuat laporan polis di Bedong pada 23 Jun lalu. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!