1.1 bilion dos vaksin Covid-19 sudah disuntik di China
BEIJING - China sudah menyuntik sebanyak 1,120,643,000 dos vaksin Covid-19 setakat 24 Jun, memetik data Suruhanjaya Kesihatan Negara (NHC).
Jumlah penerima suntikan vaksin pula melebihi 630 juta, bermakna kadar pengambilan vaksin sudah melepasi 40 peratus.
China kini giat melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan program pemvaksinan di seluruh negara berjalan lancar.
Namun, pakar menasihatkan orang awam agar tetap mengamalkan langkah perlindungan seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak sosial serta mengehadkan aktiviti perhimpunan sebelum imuniti kelompok dapat dicapai sepenuhnya.
Orang ramai juga dinasihatkan segera mendapatkan rawatan jika mengalami simptom demam atau batuk.
Hasil pemantauan kesan negatif selepas menerima suntikan vaksin yang diumumkan NHC sebelum ini mendedahkan gejala biasa dan luar biasa adalah lebih rendah berbanding kesan suntikan vaksin jenis lain di China pada 2019.
Setakat 30 April, kadar kesan negatif pemvaksinan Covid-19 dilaporkan 11.86 kes per 100 ribu suntikan, antaranya, 83 peratus biasa, dan 17 peratus luar biasa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!