MMAF sumbang 5 mesin Oxygen Concentrator kepada 2 PKRC
KOTA BHARU - Yayasan Persatuan Perubatan Malaysia (MMAF) telah menyumbangkan lima buah mesin Oxygen Concentrator bagi kegunaan di dua Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri ini.
Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, mesin Oxygen Concentrators bernilai RM5,000 setiap satu tersebut akan digunakan oleh pesakit Covid-19 dalam kategori tiga dan empat yang ditempatkan di PKRC Gelanggang Seni dan PKRC Tanjung Chat.
"Kedua-kedua PKRC ini adalah merupakan 'step down centre' bagi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk mereka yang telah mendapat rawatan di sana dan berada dalam keadaan stabil untuk kesinambungan pemantauan seterusnya di PKRC," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Majlis penyerahan mesin Oxygen Concentrator di PKRC Gelanggang Seni itu dilakukan Pengerusi Malaysian Medical Association (MMA) Kelantan, Dr Rosnelifaizur Ramely dan turut dihadiri, Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali.
Mengulas lanjut, Dr Mohd Zurairie memberitahu, walaupun keadaan semasa menunjukkan kes kategori tiga dan empat yang dimasukkan ke PKRC adalah menurun, namun pihaknya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlaku.
"Pihak PKRC mengucapkan jutaan terima kasih kepada MMAF atas sumbangan sebanyak RM25,000 tersebut dan semoga dengan adanya mesin ini membantu memberi manfaat kepada pesakit kita selepas ini," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Dr Mohd Zurairie turut menerima sumbangan 200 pek makanan serta keperluan peralatan kebersihan diri daripada Pertubuhan Kerabat D'Raja Al-Muhammadi
Sumbangan berkenaan disampaikan Bendaharinya, Datuk Tengku Ibrahim Farihaddin Tengku Feissal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!