Tentera di Sabah dijangka capai lebih awal imuniti berkelompok

Ismail Sabri meninjau proses pemberian vaksin secara pandu lalu di Kem Lok Kawi, Putatan.
Ismail Sabri meninjau proses pemberian vaksin secara pandu lalu di Kem Lok Kawi, Putatan.
A
A
A

PUTATAN - Sebanyak 99 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota tentera di Sabah dijangka menerima vaksin Covid-19 bagi memastikan imuniti berkelompok membabitkan petugas barisan hadapan ini tercapai lebih awal.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini sebanyak 95 peratus anggota tentera di Sabah sudah diberikan suntikan vaksin, manakala yang selebihnya masih menunggu vaksin.

Menurut beliau, terdapat 5,111 anggota tentera darat negeri ini di mana 4,900 daripadanya telah menerima suntikan vaksin.

"Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ada seramai 3,748 di mana 3,585 anggota telah disuntik vaksin dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula seramai 1,367, disuntik vaksin 1,241 anggota.

"Maknanya keseluruhannya anggota tentera ini telahpun disuntik dan sudah mencapai dari segi vaksinasinya iaitu mencapai 95 peratus," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Vaksinasi Pandu Lalu Tentera Darat di Kem Lok Kawi pada Sabtu.

Beliau berkata, terdapat kira-kira empat peratus lagi anggota tentera di negeri ini yang masih belum disuntik dan sedang menunggu vaksin.

"Jika vaksin tiba, kita akan suntik keseluruhannya. Untuk keseluruhan anggota tentera ini kita hanya perlukan 600 dos sahaja lagi, apabila kita dapat 600 dos kita selesai 99 peratus," katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, satu peratus lagi mungkin ada anggota yang bertugas di luar dan sebagainya sebab itu dikatakan 99 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu imuniti berkelompok tercapai lebih awal di kem anggota tentera ini kerana mereka merupakan barisan hadapan negara.

"Kalau boleh kita suntik barisan hadapan dan tentera yang terlibat dengan sekatan jalan raya serta Op Benteng," katanya.

Beliau berkata, seluruh anggota tentera harus diberi vaksin kerana mereka adalah petugas barisan hadapan untuk negara.

"Keseluruhan anggota tentera ini adalah frontliners. Tetapi frontliners kepada negara, bayangkan kalau seluruh kem ini dijangkiti, maknanya kita tidak boleh hendak kerahkan anggota kalau berlaku apa-apa kejadian terhadap negara kita.

"Sebab itu penting untuk kita vaksinasi keseluruhan anggota kerana persediaan kita dalam mempertahankan negara, kita tidak ada kompromi dari segi anggota kita untuk divaksinasi lebih awal," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!