Golongan antivaksin pengaruhi penduduk Long Pasia
PUTATAN - Hanya 227 daripada 500 penduduk di Long Pasia, Sipitang hadir untuk mendapatkan vaksin Covid-19 melalui Program Combat Medic Vaccination Programme Covid-19 (CMVT) yang diadakan selama dua hari oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, difahamkan terdapat kumpulan antivaksin yang mempengaruhi penduduk supaya tidak keluar untuk mendapatkan vaksin.
"Saya nak maklumkan di Long Pasia itu terdapat 500 penduduk tapi yang kita dapat vaksinkan adalah seramai 227 orang kerana ramai yang tidak keluar.
"Saya difahamkan terdapat kumpulan antivaksin ini yang mempengaruhi penduduk kampung tersebut supaya tidak keluar," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Vaksinasi Pandu Lalu Tentera Darat di Kem Lok Kawi, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berharap supaya penduduk tidak mudah terpengaruh dengan golongan antivaksin atau sesiapa sahaja yang mempengaruhi mereka kerana ia adalah untuk keselamatan penduduk itu sendiri.
"Jadi saya menyeru kepada semua penduduk supaya keluar untuk divaksinasikan kalau kita sampai ke perkampungan mereka.
"Kebimbangan kita, kalau ada satu jangkitan ia akan cepat merebak kerana tidak ada klinik yang terhampir dengan kampung mereka untuk mendapatkan rawatan," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan supaya anggota tentera masuk sekali lagi ke Long Pasia untuk diberikan vaksin kepada penduduk.
"Kalau mereka tak nak keluar kita cari mereka ke rumah-rumah supaya semua dapat disuntik vaksin," katanya.
Beliau berkata, program CMVT diwujudkan bertujuan untuk membantu kerajaan Sabah memberikan vaksin kepada penduduk di kawasan pedalaman.
"Walaupun ada akses, ada jalan darat tetapi agak sukar untuk memasukinya dan memakan masa mungkin enam hingga tujuh jam.
"Jadi mereka tidak perlu keluar untuk mendapatkan vaksin kerana akan menyukarkan pergerakan. Kita akan menggunakan apa sahaja kenderaan yang ada sama ada menggunakan trak atau helikopter untuk sampai ke tempat mereka," katanya.
Katanya, setakat ini pihaknya menerima senarai yang panjang dari kerajaan Sabah di kawasan pedalaman untuk diberikan vaksin.
"Lebih kurang 132 perkampungan yang kita peroleh dan kita akan duduk bersama dengan kerajaan Sabah untuk mengenal pasti dari segi keperluan mendesak supaya dapat kita pergi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!