Enam beranak huni bot usang dapat rumah baharu
KUALA TERENGGANU - Keperitan hidup enam sekeluarga yang menghuni sebuah bot usang di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu bakal berakhir apabila mereka mendapat sebuah rumah baharu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Datuk Rozi Mamat berkata, permohonan rumah baharu keluarga itu di bawah program Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sudah diluluskan.
Menurutnya, rumah menelan kos kira-kira RM60,000 itu akan dibina di tanah milik keluarga Shamsuddin Khalid, 45, di Kampung Basong dalam masa terdekat.
“Sekarang dalam proses lantikan kontraktor dan apabila segalanya selesai, rumah itu akan terus dibina dengan tempoh selesai projek mengambil masa antara satu hingga satu bulan setengah,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Rozi berkata, beliau sebenarnya sudah membuat permohonan rumah PPRT itu kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada Mac lalu selepas mendapat maklumat mengenai masalah dihadapi Shamsuddin.
“Permohonan rumah ini kemudian diluluskan pada akhir bulan lepas cuma silapnya saya tidak maklumkan kepada Shamsuddin. Apapun, alhamdulillah ia lulus dan rumah ini akan dibina dalam masa terdekat,” katanya.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan kesempitan hidup enam sekeluarga yang menghuni sebuah bot usang di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu semakin getir sejak penularan pandemik Covid-19 pada awal tahun lalu.
Situasi bertambah sukar apabila ketua keluarga, Shamsuddin, yang sebelum ini mengambil upah sebagai pemandu bot tidak dapat meneruskan mata pencarian berikutan penutupan sektor pelancongan.
Menurut Samsuddin, dia sebelum ini mempunyai sebuah rumah bot dan dua bot fiber, namun ketiga-tiganya tersadai kerana mengalami kerosakan.
Katanya, rumah bot yang dibeli dengan harga RM15,000 sebelum sempat diubah suai kini terpaksa dijadikan tempat tinggal mereka sekeluarga.
ARTIKEL BERKAITAN: Enam beranak huni rumah bot usang di Tasik Kenyir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!