PPV bas bergerak MARA Liner mampu beri 800 suntikan sehari
SUNGAI SIPUT - Inisiatif Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bas Bergerak Mara Liner yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Luar Bandar berupaya memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada 800 orang asli di satu-satu tempat dalam tempoh sehari.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ia antara usaha digerakkan kementerian itu bagi membantu menyegerakan proses vaksinasi memandangkan ketika ini majoriti masyarakat orang asli tidak lagi takut untuk menerima suntikan vaksin.
"Sekarang semua orang asli dah nak vaksin, hinggakan mereka pula yang bertanya kepada kita bila mereka boleh divaksinkan. Ini reaksi apabila kita pergi ke kampung mereka.
"Tetapi kita tahu kebanyakan kawasan penempatan orang asli ini tidak ada tempat yang selesa untuk kita laksanakan program vaksinasi.
"Jadi dengan adanya kemudahan seperti PPV Bas Bergerak MARA Liner ini, kita boleh menyediakan tempat vaksin dengan bergerak mudah ke satu-satu destinasi kampung orang asli di seluruh negara," katanya ketika ditemui pada program pemberian vaksin untuk tok batin dan masyarakat orang asli di Orang Asli One Stop Centre (OAOSC) Bawong di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus; Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Ketua Pegawai Eksekutif MARA LINER Sdn Bhd, Zachary Ismail Zee Ismail.
Terdapat 17 bas ekspres MARA Liner telah dijadikan PPV dan sebagai permulaan, dua bas pertama digerakkan ke OAOSC Bawong yang mana seramai 100 orang terdiri 40 Tok Batin dan 60 warga emas orang asli menerima suntikan vaksin Covid-19 dos pertama melalui perkhidmatan berkenaan.
Abdul Rahman berkata, pada ketika ini kementerian berdepan sedikit kekangan untuk menggunakan perkhidmatan bas bergerak itu ke kawasan-kawasan pedalaman kerana perlu menunggu vaksin berdos tunggal jenis CanSino yang dijangka diterima pada Julai depan.
Bagaimanapun katanya, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk pergi ke kawasan luar bandar dan perkampungan orang asli yang telah tersenarai sebagai penerima vaksin terlebih dahulu.
"Bagi kawasan-kawasan yang jauh seperti Gerik dan lain-lain, terpaksa tangguh sementara, sehingga vaksin CanSino sampai. Saya yakin apabila vaksin ini sampai nanti, maka gerakan kita akan lebih laju dan bertambah untuk pastikan semua masyarakat luar bandar divaksin seberapa segera yang mungkin," katanya.
Dalam perkembangan sama, Abdul Rahman berkata, penerimaan komuniti orang asli terhadap suntikan vaksin semakin baik apabila pendaftaran untuk menerima suntikan berkenaan semakin meningkat.
Malah katanya, ada dalam kalangan mereka hadir di PPV untuk mendapatkan suntikan meskipun nama tidak tersenarai sebagai penerima pada hari berkenaan.
"Setakat Jumaat lepas, seramai 30,638 masyarakat orang asli sudah menyatakan persetujuan untuk suntikan vaksin, daripada jumlah itu, seramai 5,143 telah menerima suntikan dos pertama manakala 1,583 telah melengkapkan suntikan dos kedua," katanya.
Data orang asli
• Anggaran jumlah orang asli di Semenanjung: 209,000 orang
• Jumlah keseluruhan Tok Batin: 624 orang
• Jumlah orang asli layak divaksin: 144,180 orang
• Jumlah borang daftar vaksin diterima (setakat 24 Jun 2021): 65,099
• Jumlah setuju vaksin (setakat 24 Jun 2021): 30,638
• Jumlah telah divaksin dos pertama (setakat 24 Jun 2021): 5,143 orang
• Jumlah telah divaksin dos kedua (setakat 24 Jun 2021): 1,583 orang
Maklumat PVV bas bergerak Mara Liner
• Sebanyak 17 bas ekspress Mara Liner Sdn Bhd (MLSB) diubah suai menjadi PPV.
• Setiap unit PPV mempunyai 9 kaunter vaksinasi termasuk satu untuk golongan orang kurang upaya (OKU).
• Operasi PPV merangkumi kaunter pengesahan, pendaftaran, konsultasi, pemerhatian dan rawatan selaras dengan syarat yang ditetapkan KKM.
• Dilengkapi dua odoktor dan seorang jururawat dari U.n.i KLINIK (rangkaian klinik yang dibangunkan melalui program (ProSPEC) di bawah MARA.
• PPV akan memberi vaksin kepada komuniti luar bandar tanpa mengambil kira berdaftar melalui aplikasi MySejahtera atau tidak.
• Beroperasi selama 10 jam dengan anggaran 800 penerima vaksin sehari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!