Lelaki buat laporan palsu kerana takut ditinggalkan isteri
KOTA BELUD - Hanya kerana mahu mendapatkan perhatian isteri supaya tidak meneruskan tuntutan cerai, seorang lelaki sanggup membuat laporan palsu kononnya dia disamun dua individu tidak dikenali di Kampung Pirasan di sini pada malam Jumaat.
Bagaimanapun, helah lelaki berusia 30-an itu bukan sahaja gagal mendapat perhatian isterinya malah akhirnya ditahan selepas didapati positif dadah jenis syabu.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, suspek membuat laporan polis kira-kira jam 9 malam mendakwa bahawa motosikal miliknya dilarikan dalam satu kejadian samun.
"Hasil siasatan mendapati laporan yang dibuat mencurigakan dan akhirnya suspek mengaku membuat laporan palsu sebelum membawa polis ke lokasi dia menyembunyikan motosikalnya.
"Suspek turut mengaku terpaksa membuat laporan itu kerana mahu menyelamatkan rumah tangganya dan hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis syabu," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Sahimi berkata, suspek kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Jika sabit kesalahan, suspek berhadapan dengan hukuman penjara berserta denda kerana membuat laporan palsu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!